Mulai tahun depan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menghantar semua pelajar tajaannya ke Jordan dan tidak lagi ke Mesir.
Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata ini kerana Maidam mendapati sistem pengajian di Mesir agak ketinggalan selain faktor keselamatan pelajar itu sendiri yang kurang terjamin.
"Ini adalah dasar kerajaan dan kita kena ikutlah," katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu di Kuala Terengganu, semalam.
Wan Harujan berkata Maidam mengikut langkah Yayasan Terengganu yang tidak lagi menghantar pelajar tajaannya ke Mesir bagi mengelak pelajar-pelajar gagal dan sekaligus merugikan kerajaan.
Bagiamanapun, katanya, 260 pelajar yang sedang belajar di Mesir akan terus ditanggung oleh Maidam sehingga pengajian mereka selesai.
Wan Harujan berkata Maidam akan menimbang menghantar semula pelajar tajaannya ke Mesir pada masa akan datang sekiranya keadaan di negara itu sudah kembali stabil.
Pegawai-pegawai Maidam telah dihantar ke Mesir minggu lepas untuk bertemu dan menasihat pelajar-pelajar supaya mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana tidak mahu mereka gagal.
Wan Harujan juga berkata Maidam akan menambah insentif sekiranya pelajar mendapat kejayaan cemerlang dan terbaik.
No comments:
Post a Comment