MB pernah menyertai acara kayuh basikal sekitar Kuala Terengganu sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan menyertai kira-kira 2,000 penduduk sekitar bandar Kuala Terengganu, mengayuh basikal di sekitar bandar ini, sempena sambutan Tahun Baru pada 31 Disember ini (Sabtu).
Acara berkenaan yang sebahagian besarnya akan disertai golongan remaja dan peminat basikal ‘fixie’ dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Belia Generasi Prihatin Kuala Terengganu.
Antara objektif program itu ialah meningkatkan hubungan antara golongan remaja dengan pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu. Ia akan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan beberapa pemimpin negeri.
Program itu juga bertujuan menarik perhatian anak-anak muda daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah bagi menyambut Tahun Baru seperti berlumba motosikal dan merempit sekitar bandar.
Peserta program itu akan mengayuh basikal sejauh kira-kira 20 kilometer dan melalui beberapa jalan utama menuju Hotel Primula, Pasar Besar Kedai Payang, Pulau Warisan, Jalan Banggol, Jalan Kampung Tiong, Pulau Kambing, Cabang Tiga, Simpang Tok Ku, Jalan Hiliran (depan Mydin Mall), Gong Kapas, Jalan Sultan Pmar dan Bulatan Ladang.
Acara tersebut bermula di Dataran Batu Buruk dan turut berakhir di tempat yang sama di mana pelbagai acara menarik turut diadakan bagi menyerikan sambutan Tahun Baru.
Pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan basikal klasik, pertandingan basikal cantik, persembahan fixie dan cabutan nombor bertuah.
Mereka yang berminat menyertai acara tersebut boleh mendaftar pada jam 8 malam, sebelum program tersebut dimulakan.
Teganukita
No comments:
Post a Comment