Saturday, December 31, 2011

Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Ringan Beban Musim Tengkujuh

Seramai 325 nelayan dan pengusaha bot penambang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan RM100 serta makanan daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka yang tidak dapat ke laut pada musim tengkujuh berikutan keadaan ombak besar serta angin kencang.

Bantuan itu disampaikan Anggota DUN kawasan berkenaan Ahmad Razif Abd Rahman dan penerima terbabit berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib golongan nelayan yang hidup dalam kemiskinan.

Bagi Awang Jusoh, 46, dari Kampung Baru Seberang Takir, bantuan itu boleh digunakan untuk membeli peralatan sekolah tiga anaknya yang belajar di sekolah menengah.

"Kita tidak tahu hendak cakap kerana kita rasa terlalu gembira mendapat bantuan ini, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan itu semalam.

Alias Ali, 50, pula berkata bantuan itu amat penting kerana pendapatannya sebagai penambang hanya cukup makan.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan membelanjakan RM70,000 untuk membantu nelayan menerusi program tersebut dan ini merupakan tahun ketiga ia dilaksanakan.

Beliau berkata kerajaan sedar nelayan dan pengusaha bot penambang di Kampung Seberang Takir mengalami kesempitan hidup pada musim tengkujuh kerana sebahagian besar daripada mereka tidak dapat mencari rezeki.

No comments:

Post a Comment