Friday, December 30, 2011

Ahmad Razif Mahu Bertemu Empat Mata Dengan Pelajar Nakal

Saya akan pergi ke setiap buah rumah pelajar yang bermasalah untuk bersemuka antara empat mata dengan pelajar dan juga penjaga mereka.

Itu janji Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam usaha menangani masalah disiplin di kalangan pelajar yang begitu membimbangkan kebelakangan ini.

“Saya terima senarai nama 17 orang pelajar nakal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang bakal dikenakan tindakan buang sekolah,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir semalam.

Katanya, tindakan buang sekolah bukan jalan terbaik, kerana dikhuatiri boleh mendatangkan masalah lebih besar lagi selepas itu.

"Saya beritahu guru sekolah berkenaan, jangan bertindak lagi kerana saya ingin ke rumah jumpa mereka dan keluarga mereka sekali," katanya.

Adun Seberang Takir itu juga akan membuat ‘road show’ ke setiap buah sekolah mulai tahun depan bertemu guru, pelajar dan ibu bapa untuk lebih dekat berbincang hati ke hati tentang masalah dan perancangan serta hala tuju pendidikan negeri.

“Kadang-kadang kita risau dengan fenomena hari ini terdapat sesetengah pelajar sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertinggi negeri, guru dan juga ibu bapa sendiri akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sudah lakukan segalanya bagi memastikan pembangunan pendidikan mendapat yang terbaik namun perubahan minda itu perlu datang dari dalam diri individu sendiri.

Ahmad Razif kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada 97 orang pelajar cemerlang termasuklah 73 orang mendapat 5A (UPSR) manakala 24 pelajar mendapat 8A dan 9A (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

Pelajar PMR menerima wang tunai RM150 beserta sijil dan UPSR menerima RM100 beserta sijil setiap seorang serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah rendah (5 buah) dan sekolah menengah (2 buah) masing-masing menerima wang tunai RM1,000.

Teganukita

No comments:

Post a Comment