Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendesak pihak pembangkang supaya bersikap telus dan benar jika ingin membentang setiap usul pada sidang Dewan Undangan Negeri.
Katanya, apa yang diusulkan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) pagi semalam, jelas sama sekali bohong dan hanya bersikap ingin memburukkan imej kerajaan supaya rakyat melihat apa yang dilaksanakan itu adalah satu penyelewengan bukannya kebajikan.
“Di samping itu, saya ingin meminta Jabatan Audit Negara supaya mengeluarkan kenyataan benar dalam mana-mana akhbar bahawa pada 2007, 2008 dan 2010 kita beri wang tunai dan bukannya pakaian sekolah.
“Pada tahun 2009 saja, Ahli- ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengagihkan pakaian sekolah di atas pelbagai faktor,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.
Menurutnya, sewaktu kerajaan mengagihkan wang tunai untuk membeli pakaian, ibu bapa bersikap yang tidak bertanggungjawab dengan membelanjakan wang tunai itu kepada perkara tidak berfaedah.
“Ketika agihan pakaian sekolah juga timbul pelbagai masalah, ada yang mendakwa tidak padan dengan saiz pakaian, apabila diminta tukar mereka tidak mahu.
“Disebabkan tidak mahu masalah membabitkan pakaian sekolah terus di putar belit, kerajaan negeri memutuskan untuk kembali mengagihkan bantuan itu dalam bentuk wang tunai pada tahun 2011 dan 2012,” katanya.
No comments:
Post a Comment