Friday, December 16, 2011

Peningkatan Kes Demam Denggi di Terengganu

Melaka, Johor dan Terengganu telah menunjukkan peningkatan kes demam denggi sejak empat minggu lepas, dan trend kenaikan kes denggi ini adalah membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata sejak bulan Oktober, terdapat trend peningkatan berterusan kes denggi di seluruh negara. Negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan kes denggi yang ketara adalah Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Dr Hasan berkata orang ramai perlu memberi perhatian dalam usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.

Beliau berkata pada minggu ini tiga lokaliti 'panas' dikenal pasti yang melibatkan 44 kes demam denggi iaitu Flat Taman Gembira dan Vista Angkasa, masing-masing di Klang Lama dan PPR Taman Mulia di Cheras.

Sementara itu, seorang pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor merupakan mangsa terbaru demam denggi.

Dengan kematian pensyarah yang berumur 42 tahun itu, jumlah kematian akibat demam denggi sehingga Ahad lepas ialah sebanyak 34 orang.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di sekitar kawasan kediaman pensyarah itu mendapati 20 tempat pembiakan Aedes, yang terdiri daripada bekas polisterin, pasu bunga, tong plastik dan lopak-lopak air di atas simen.

"Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama (JMB) kediaman berkenaan telah dikenakan dua kompaun yang setiap satunya bernilai RM500," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Dr Hasan berkata 486 kes demam denggi dilaporkan sepanjang minggu lepas, meningkat 128 kes berbanding 358 kes minggu sebelum itu dan jumlah kes minggu lepas merupakan jumlah kes mingguan yang tertinggi dilaporkan sejak Februari tahun ini.

No comments:

Post a Comment