Malang bagi dua lelaki apabila mereka bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan televisyen yang cuba dicurinya, malah terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam.
Tertuduh, masing-masing berasal dari Kuala Terengganu iaitu Mohamad Zani Mat Yusof, 23, dari Kampung Nesan Empat, dan Mohd Asyraf Hamdi Mat Din, 20, dari Kampung Tanjung Teluk melakukan perbuatan itu di sebuah hotel, di Jalan Sultan Zainal Abidin, empat hari lepas.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya melaksanakan dengan niat bersama melakukan perbuatan terbabit pada 25 Disember lalu kira-kira jam 4.30 petang di Hotel Suria Inn dan telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman daripada milikan Wong Soon Woei, 38, iaitu sebuah televisyen LCD 32 inci bernilai RM1,600.
Kedua-duanya melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut fakta kes, kedua-duanya dikatakan telah menggunakan tali plastik untuk mengeluarkan televisyen di bahagian ruang tamu tingkat satu itu melalui tingkap hotel.
Bagaimanapun, perlakuan kedua-duanya disedari oleh orang ramai yang berada di kedai makan bersebelahan hotel tersebut dan bertindak menghentikan perbuatan terbabit.
Pemilik kedai makan kemudian menghubungi pemilik hotel terbabit yang ketika itu sedang berada di kediamannya di Jalan Sultan Zainal Abidin bagi memaklumkan berhubung perkara itu.
Pengadu yang ke tempat kejadian kemudian mendapati orang ramai telah menangkap kedua-dua tertuduh terbabit dengan kesan lebam di bahagian badannya.
Pengakuan pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment