Thursday, December 15, 2011

Pikat Belia Ceburi Pertanian

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yakin golongan belia mampu melibatkan diri dalam bidang pertanian jika mereka diberi pendedahan serta melihat keuntungan yang bakal diperoleh.

Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang berkata, apabila pendedahan dibuat kepada golongan berkenaan, soal untuk menarik minat mereka tidak mustahil dicapai walaupun hanya sejumlah kecil.

“Sebab itu kerajaan atau Fama cuba sedaya mungkin melakukan perkara yang mereka suka kerana keuntungan yang terbukti itu memberi semangat untuk golongan ini melibatkan diri dalam bidang pertanian yang pastinya memberi pulangan lumayan.

“Perkara untung dan rugi menjadi pilihan kerana mereka lebih suka mengambil risiko yang positif daripada rugi,” katanya.

Menurutnya, jika mereka terlibat dalam bidang pertanian dengan komitmen tinggi, pendapatan mampu diperoleh kira-kira RM2,000 sebulan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak MOA Incorporation di balai raya di Langgar, Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir selaku perasmi, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman, Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail, Pengarah Fama Negeri, Hasan Jusoh dan ketua-ketua jabatan serta peserta Ladang Kontrak di daerah Hulu Terengganu dan Marang.

Menurutnya, belia perlu dibimbing dan peranan semua pihak perlu dalam usaha itu antaranya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, penghulu, jabatan-jabatan berkenaan dan sebagainya.

“Sebab itu sekarang Fama memperbanyakkan program bersama institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha menarik golongan itu terlibat dalam bidang ini selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, buat masa sekarang, penglibatan belia dalam Ladang Kontrak ada walaupun jumlah itu kecil, tetapi pertambahan mungkin berlaku jika pendedahan mengenai keuntungan yang diperoleh dihebahkan kepada mereka.

Seramai 42 peserta terlibat dalam perjanjian berkenaan membabitkan tanaman pisang berangan, labu mas, cili merah, labu manis dan jagung manis serta secara keseluruhannya keluasan tanaman ialah 14.22 hektar.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment