Monday, December 5, 2011

Rosmah Sempurna Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqadam 2011 15 Disember

Sejumlah 1,050 kanak-kanak taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafaz muqaddam pada tahun ini.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa memberitahu, jumlah itu mencecah tahap yang membanggakan apabila ia melonjak tinggi berbanding 700 kanak-kanak pada tahun lalu.

Katanya, bagi meneruskan tradisi yang dimulakan empat tahun lalu, mereka akan diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam 2011 pada 15 Disember ini.

''Majlis yang akan berlangsung di Stadium Negeri di sini itu bakal disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor," ujar beliau di sini, hari ini.

Katanya, ketika penekanan mula diberikan empat tahun lalu, seramai 300 kanak-kanak hafaz muqaddam (23 surah lazim) dan jumlahnya terus meningkat.

''Ia sebahagian daripada usaha menyemai cintakan al-Quran dalam jiwa kanak-kanak pada peringkat usia paling awal (tiga dan empat tahun).

''Ia akan memudah lagi mereka menguasai bacaan dan menghafaz al-Quran apabila melangkah ke alam persekolahan," katanya.

Menurut beliau, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan setiap anak negeri beragama Islam sentiasa dekat dengan al-Quran dan menjadikannya sebagai sandaran hidup.

Beliau menarik perhatian, sehingga kini terdapat 64 buah taska kelolaan YPKT di seluruh negeri ini termasuk 32 taska Permata.

''Di sini, menghafaz muqaddam selama lima hingga 10 minit dijadikan amalan awal sebelum memulakan kegiatan harian," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment