Thursday, December 1, 2011

Seramai 300 Peserta Dari Enam Benua Sertai RFC 2011

Seramai 300 peserta dari 30 buah negara akan menyertai kembara sukan lasak kenderaan 4X4 Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) selama 10 hari mulai Sabtu ini.

Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata kejohanan kali ke-14 itu, merupakan satu lagi rekod penyertaan paling ramai disertai peserta dari dalam dan luar negara.

Ia membabitkan peserta antaranya dari Australia, Rusia, Filipina, Venezuela, Amerika Syarikat, Austria, China, Itali, India, Sri Lanka, Perancis, Vietnam, Thailand, United Kingdom, Singapura, Indonesia dan Malaysia.

"Cubaan mengatasi cuaca, hutan hujan tropika dan bentuk muka bumi di kala Monsun Timur Laut melanda merupakan pengalaman yang amat mencabar kepada peserta RFC tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari Rabu.

Pada kejohanan RFC 2007 dan 2008 peserta menghadapi cabaran getir apabila terkandas di dalam hutan dalam cuaca yang tidak menentu di mana peserta terpaksa diselamatkan oleh komando tentera.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata acara tahun ini yang meliputi laluan Sungai Loh dan laluan Terminator di Hulu Dungun, laluan berbukit, laluan Predator di Hulu Terengganu dan laluan terakhir di kem tiga bakal memberi cabaran paling sengit kepada peserta di Hulu Kemaman.

Katanya pada tahun ini hujan yang tidak menentu bakal memberi impak kepada peserta di mana daripada maklumat yang diterima, bakal terdapat peningkatan purata hujan di negeri itu.

"Pengurusan teknikal telah mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan laluan yang selamat daripada bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk laluan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Namun seperti biasa, di dalam mana-mana pengembaraan, tiada apa yang boleh memberi jaminan sehinggalah hari kejohanan memandangkan cuaca yang amat tidak menentu," katanya.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, kejohanan RFC itu yang merupakan salah satu sukan lasak di dunia akan dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertempat di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak di sini pada 9.45 pagi Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment