Thursday, December 15, 2011

Takbir Iringi Keputusan Kes Rogol

Laungan takbir bergema diselangi tangisan kegembiraan kedengaran di kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen di sini, semalam sejurus hakim Azman Mustapha membebaskan dan melepaskan seorang buruh daripada dua pertuduhan merogol dan meliwat anak angkatnya.

Lebih menyentuh hati, tertuduh yang tidak dapat menahan perasaan terus menerkam ibunya yang ketika itu sedang menangis di galeri awam mahkamah sebelum ditenangkan oleh isteri serta sanak saudara yang hadir.

Tertuduh, 31, dari Kampung Seberang Takir, di Kuala Terengganu, dibebaskan dan dilepaskan selepas hakim mengambil kira faktor keterangan yang diberikan mangsa secara tidak bersumpah serta keterangan yang diberikan saksi pendakwaan banyak bercanggah.

Dia sebelum ini berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada Februari hingga September tahun lalu di Blok Gamelan Kondo Rakyat Kuala Ibai didakwa telah merogol mangsa berusia sembilan tahun.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, pada waktu serta lokasi sama, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di rumah sewa tertuduh semasa mangsa yang juga rakan baik kepada anak tertuduh tumpang bermalam di rumah sewaktu musim cuti sekolah hanya membuat laporan polis kira-kira sebulan selepas kejadian.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naslyza Muhamad Nazri manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhammad.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment