Monday, December 26, 2011

Terengganu Jadi Contoh Program PERMATA Negara


Oleh Azis Ngah

Ketika merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam Kanak-Kanak Taska PERMATA Keluarga 2011 di Stadium Negeri di Terengganu pada 15 Disember lalu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengakui negeri itu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program PERMATA Negara.

Pandangan beliau ditafsirkan kerana Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (PERMATA) ialah platform kukuh ke arah melahirkan modal insan hebat dan mempunyai sahsiah tinggi termasuk bijak berfikir.

Tetapi kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menokok tambah dengan suntikan idea baru iaitu memastikan kanak-kanak di bawah jagaannya mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh melalui program hafazan muqaddam seawal usia tiga hingga empat tahun.

Hasilnya, dalam tempoh sembilan bulan, sebahagian besar daripada kanak-kanak di situ sudah boleh menghafal 32 surah muqaddam yang semestinya membanggakan ibu bapa serta warga pendidik yang berjaya menyediakan asas agama kukuh dalam diri kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

YPKT kini mengendalikan 89 TASKA PERMATA di Terengganu membabitkan 32 Taska PERMATA YPKT di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), 34 TASKA Keluarga yang dinaiktaraf menjadi TASKA PERMATA serta 15 TASKA PERMATA KEMAS, TASKA PERMATA Perpaduan, TASKA PERMATA Komuniti dan Pusat Asuhan PERMATA Negara.

Menyingkap sejarah ringkas pelaksanaan PERMATA Negara, Terengganu ialah antara negeri awal yang menyahut seruan membantu perkembangan awal kanak-kanak sebaik saja ia diperkenalkan di bawah pakej rangsangan ekonomi negara pada 2009.

YPKT yang mewakili kerajaan negeri diberi tanggungjawab melaksanakan program dengan peruntukkan RM20 juta bagi menyedia dan membina 32 TASKA PERMATA di DUN seluruh negeri.

Selepas dua tahun beroperasi, program PERMATA di Terengganu mula mencatatkan kejayaan membanggakan selepas menambahbaik program sedia ada dengan dua inisiatif baru yang tiada di negeri lain.

Secara dasarnya, semua program PERMATA seluruh negara menggunapakai modul sama, tetapi YPKT menyuntik dua idea baru melalui program hafazan muqaddam dan TB Kids (Terengganu Brilliant Kids) iaitu menyediakan papan pintar secara sentuh skrin bagi memberi peluang kepada kanak-kanak bermain peralatan berasaskan teknologi.

Program hafazan itu diperkenalkan kepada kanak-kanak di situ yang berusia bawah empat tahun. Setiap hari, kanak-kanak akan melakukan sekurang-kurangnya enam aktiviti berkonsepkan belajar sambil bermain.

Setiap kali sebelum melakukan aktiviti, mereka akan diajar menghafal surah secara berperingkat. Logiknya kanak-kanak yang sedang membesar akan menerima apa saja input yang disuapkan kepada mereka secara mudah.

Selepas sembilan bulan melakukan aktiviti sama, kini lebih 3,000 kanak-kanak yang menyertai program itu sudah boleh menghafal 23 surah lazim.

Program hafazan itu sebenarnya sudah mula diperkenalkan YPKT di setiap TASKA kendaliannya sejak lima tahun lalu, jadi apabila TASKA PERMATA Keluarga diperkenalkan, pengurusannya menggunakan inisiatif sama membantu memantapkan perkembangan kanak-kanak.

Sudah pasti, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa ialah individu yang boleh berbangga dengan perkembangan dan kejayaan itu tetapi menyifatkan, ia cuma sebagai penambahan program sokongan kepada program yang diperkenalkan di peringkat pusat.

“Cetusan idea mewujudkan program PERMATA sudah lengkap, YPKT cuma memantapkan lagi pengisiannya dengan program hafazan muqaddam serta inisiatif lain. Syukur ia diterima baik banyak pihak dan membuahkan hasil membanggakan.

“Pengiktirafan itu kami anggap sebagai satu penghormatan ke atas usaha yang dilakukan kerajaan negeri khasnya YPKT,” katanya.

Ketika ini, ada 1,030 daripada 1,500 kanak-kanak berusia bawah empat tahun yang menyertai program di seluruh negeri sudah menamatkan latihan menghafal 32 surah lazim.

Melalui inisiatif kedua iaitu program TB Kids, kanak-kanak diberikan program permainan komputer berasaskan warna, corak, bentuk dan apa saja yang boleh merangsang daya fikir dan minda mereka. Misalnya, melengkapkan keratan bentuk manusia berasaskan keratan bentuk badan tidak lengkap seperti mencantumkan kepala dengan badan, kaki dan tangan.

Ketika ini, 50 daripada 66 TASKA di Terengganu termasuk TASKA kendalian YPK dan TASKA PERMATA Keluarga sudah dilengkapkan dengan TB Kids, manakala baki 16 lagi Taska akan menikmati kemudahan sama secara berperingkat.

Berbicara soal penempatan kanak-kanak di TASKA PERMATA Keluarga yang kadang kala menimbulkan kerisauan sesetengah pihak yang menganggap ia terlalu padat, sesak dan tidak sesuai, Shafaruddin menepis tanggapan ia yang dianggap tidak berasas.

Perkara paling penting dalam menyediakan sebuah TASKA PERMATA ialah menyediakan ruang menepati standard ditetapkan iaitu mengehadkan kawasan 3.5 meter bagi setiap kanak-kanak bagi memastikan mereka mempunyai ruang selesa.

YPKT sendiri menggunakan peruntukkan RM300,000 bagi membina bangunan baru serta peruntukkan tambahan RM150,000 bagi menyediakan kelengkapan, perancangan menyediakan ruang mencukupi dan memastikan ia dilaksanakan secara maksimum.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menetapkan syarat kuota maksimum 3,500 kanak-kanak di seluruh negeri bagi memastikan mereka tidak terabai akibat terlalu ramai murid.

Setiap TASKA mempunyai purata kanak-kanak antara 50 hingga 200 orang, mengikut saiz TASKA serta tenaga pengurusan serta kumpulan sokongan seperti pembantu pendidik dan tukang masak.

YPKT turut menyediakan 450 pendidik terlatih dengan kelayakan akademik peringkat ijazah dan diploma bagi memastikan penyampaian pendidikan memuaskan.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment