Wednesday, December 14, 2011

TSG Suntik Idea Baru Buat Pasukan Berbasikal Lebuh Raya Negara

Skuad lebuh raya Malaysia yang bakal mengerah kudrat pada Sukan Olimpik London 2012 kembali menjalani latihan pusat secara intensif di Kuala Terengganu, bermula lusa.

Turut menyertai latihan ialah pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) yang akan mengambil bahagian Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC 2012) di Kuala Lumpur Februari ini.

Paling menarik, pasukan kebangsaan akan menerima sentuhan jurulatih negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan sambil beberapa bekas pelumba terkemuka termasuk M. Kumaresan, Nor Effandy Rosli, Mohd Mahadzir Hamad dan Musairi Musa diminta berkongsi kepakaran khususnya tentang taktikal perlumbaan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, skuad lebuh raya negara akan berlatih selama sebulan di Terengganu sebelum meneruskan latihan di Putrajaya bagi menyesuaikan dir.

"Beberapa tonggak TSG seperti Mohd. Harrif Salleh, Mohamad Saufi Mat Senan dan Mohd. Shahrul Mat Amin akan turut berlatih bersama pasukan kebangsaan. Setakat ini, saya dimaklumkan 16 pelumba dikenal pasti untuk berlatih secara intensif di Kuala Terengganu.

"Saya telah berbincang perkara ini dengan Syed Mohd. Hussaini dan beberapa bekas pelumba. Mungkin buat permulaan, kita akan minta M Kumaresan bekerjasama menyalurkan kepakarannya bersama Syed Hussaini.

''Keputusan ini diputuskan dalam mesyuarat Exco MNCF semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh tentang kegagalan skuad lebuh raya negara pada Sukan SEA XXVI Indonesia 2011, Abu Samah yang menyambut ulang tahun kelahirannya, kelmarin menegaskan, perkara tersebut telah dibincang panjang lebar dalam mesyuarat Exco MNCF kelmarin.

"Barisan Exco mendengar semua rumusan, pandangan dan teguran. Kita akui bahawa kita gagal di Sukan SEA 2011. Bagaimanapun, kita harus segera lupakan kegagalan itu. Justeru, saya arahkan mereka segera berlatih menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012). Kejayaan di ACC 2012 adalah sangat penting.

"Kami berharap menerusi ACC 2012 kami boleh mengenal pasti dua pelumba untuk dihantar menyertai Sukan Olimpik 2012. Di sini juga (ACC 2012) kami boleh tahu keupayaan sebenar pelumba Malaysia kerana mereka akan berlumba bersama pelumba Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Korea Selatan, China dan Iran," katanya.

No comments:

Post a Comment