Datin Seri Rosmah Mansor bertanya sesuatu kepada Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil di perhatikan oleh Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Datin Puan Sri Noraini Abd Rahman selepas ucapan perasmian Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam (1 Dis 2011).
Ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilihat berjaya membakar semangat juang anggota parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 selepas prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) merudum pada pilihan raya umum 2008, menurut beberapa penganalisis.
Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri bijak menggunakan kesempatan pada perhimpunan agung kali ini untuk membangkitkan perasaan perwakilan untuk lebih sayang, cinta dan kasihkan parti.
"Saya melihat lima kekuatan teras yang digariskan Najib pada perhimpunan kali ini tepat bagi mengingatkan semula perwakilan tentang nilai-nilai yang terhakis, yang selama ini menjadi sumber kekuatan Umno.
"Nilai yang terhakis inilah yang membawa kepada kekalahan Umno dan Barisan Nasional untuk mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum 2008," katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Pensyarah Bersekutu Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu hadir pada majlis perasmian perhimpunan agung itu sebagai jemputan.
Lima kekuatan teras yang digariskan Najib dalam ucapan perasmiannya hari ini ialah keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru; pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang sama ada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.
Tiga lagi kekuatan teras ialah, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat; meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya serta kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji.
Sivamurugan berkata peringatan Najib kepada perwakilan juga jelas dan ia menggambarkan bahawa Perdana Menteri dapat menghidu hakikat bahawa mempunyai keanggotaan yang banyak bukanlah jaminan untuk parti terus melakar kemenangan.
Katanya penegasan Perdana Menteri bahawa beliau tidak mahu anggota Umno sekadar menjadi anggota tetapi 'orang Umno' yang taat dan setia kepada parti serta tidak sekali-sekali mengkhianati parti, adalah tepat dan bersesuaian dengan landskap politik baru.
"Menjadi ahli tidak semestinya dia akan mempertahan dan mengundi parti, tetapi menjadi orang Umno, sudah semestinya seluruh perjuangan, keringat serta taat setianya kepada parti itu ada dan sekaligus akan memastikan parti itu menang.
"Perjuangan ke atas survival parti itu sebenarnya bergantung kepada 'orang'. Ada juga parti yang tiada keahlian yang besar, tetapi boleh menang," katanya.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berpendapat, ucapan dasar Presiden Umno yang juga Pengerusi BN itu bukan sekadar untuk mengingati anggota Umno, tetapi juga seluruh masyarakat di negara ini bahawa selama ini Umno memang memperjuangkan nasib semua kaum.
Katanya, penilaian rakyat terhadap prestasi parti tersebut bukan sahaja patut dilakukan berdasarkan dua tiga tahun kebelakangan ini, tetapi sejak di awal kemerdekaan negara.
"Apa jua polisi yang diperkenalkan selama ini, tak kira pendidikan, ekonomi dan sebagainya, memang sama-sama (semua pihak) untung. Polisi ini bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi juga untuk orang bukan Melayu.
"Parti komponen BN lain seperti MCA dan MIC memang memperjuangkan nasib kaum mereka, tetapi Umno mengambil pendekatan lebih menyeluruh kerana mereka merupakan parti dominan di dalam BN," kata Presiden Pertubuhan Suluh Cendekiawan Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin berkata, Najib melalui ucapannya mengingatkan para perwakilan agar sentiasa agresif dalam menongkah arus semasa yang semakin mencabar.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam, Selangor itu berkata oleh itu, dalam memastikan Umno terus relevan dalam landskap politik baru ini, anggota parti memerlukan satu pendekatan baru.
Beliau berkata, ucapan Presiden juga dilihat cuba "meneutralkan" kembali ucapan-ucapan yang dibuat pemimpin-pemimpin Umno yang lain sebelum ini.
Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail pula berkata sebagai 'orang Umno' anggota parti harus melihat saranan itu sebagai satu cabaran dalam mempertingkatkan kualiti dan pemahaman terhadap matlamat dan perjuangan parti yang bertunjangkan orang Melayu itu.
Beliau berkata mereka yang berhasrat menyertai Umno dan menjadi orang Umno perlu sedar penyertaan itu bukanlah seperti memasuki mana-mana pertubuhan lain sebaliknya perlu menghayati dan menjiwai matlamat perjuangan parti, iaitu untuk mempertahan dan membangunkan agama serta mendaulatkan bangsa dan negara.
Bekas imam Masjid Negara itu berkata dalam senario itu, Umno memerlukan anggota yang berkualiti tinggi, beretika, berakhlak serta berpendidikan kerana faktor tersebut menjadi ukuran kepada masyarakat dalam memberikan sokongan.
"Sebagai ahli yang membawa suara parti, setiap mereka perlu menjadi 'orang Umno' yang mempunyai kualiti sebagai anggota yang faham dan dapat terjemahkan matlamat dan perjuangan parti dalam setiap tindakan yang dibuat," katanya.
No comments:
Post a Comment