Polis trafik mengangkat motosikal Yusmizan Yusof, 31, yang maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tembok sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, Seremban semalam.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tembok sebuah rumah di Taman Seremban Jaya di Seremban, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, Yusmizan Yusof, 31, berasal dari Besut, Terengganu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Senawang dekat Seremban untuk pulang ke rumah sewanya yang terletak hanya beberapa meter dari tempat kejadian.
“Berikutan rempuhan itu, mangsa meninggal dunia setelah cedera parah di kepala selepas terhantuk di tembok sebuah rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja‘afar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment