Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu pada 5 Februari ini (Ahad) dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan 20,000 peserta bakal menyertai majlis itu.
Pada tahun ini, kira-kira 15,000 pemimpin masyarakat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu turut menyertai perarakan itu, selain kira-kira 5,000 agensi kerajaan, swasta, badan beruniform serta pelajar.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata kerajaan negeri berhasrat pada tahun ini sambutan hari kebesaran dalam kalendar Islam itu diraikan dengan penuh meriah berbanding tahun sebelumnya.
“Pada 5 Februari ini, kita semua akan menyambut Maulidur Rasul. Kerajaan negeri mahu menganjurkan perarakan lebih besar berbanding tahun sebelumnya, di mana kali ini kita akan libatkan ahli dan pemimpin masyarakat iaitu JKKK.
“Penglibatan mereka nanti akan menjadikan peserta pada sambutan kali ini kira-kira 20,000 orang,” katanya ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin(25 Februari).
Perarakan dijangka bermula dari Taman Syah Bandar melalui bulatan Ladang sebelum berakhir di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.
Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke majlis sambutan kali ini.
Dalam perkembangan lain, sempena sambutan itu juga turut diadakan konsert percuma, Muhammad Al-Ameen yang bakal menggabungkan dua ikon popular industri hiburan tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani di Dataran Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment