Wednesday, January 11, 2012

210 Pelajar Kumpulan Perintis Pengajian Kolej Vokasional

Hussin Yusof (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar-pelajar baru semasa Majlis Perasmian Minggu Silaturahim Pelajar Baru Sesi 2012 di Sekolah Menengah Vokasional Kuala Terengganu, kelmarin.

Seramai 210 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Vokasional Kuala Terengganu SMVKT) akan menjadi generasi perintis apabila sekolah itu bertaraf kolej tahun ini.

Pengetuanya, Hussin Yusof berkata, mereka telah diterangkan mengenai sistem pengajian yang berbeza daripada sekolah menengah harian biasa apabila proses penjenamaan kepada kolej direalisasikan sepenuhnya akhir bulan ini.

"Mereka akan mengikuti sistem pengajian selama dua semester dalam tempoh setahun iaitu semester pertama yang bermula hari ini hingga 21 Jun manakala semester kedua pula bermula 8 Julai sehingga 13 Disember.

"Selain itu, mereka juga akan mengikuti pengajian selama empat tahun dan akan memperoleh diploma sebaik tamat pengajian," katanya sempena minggu silaturahim untuk pelajar baru sekolah itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Yusof Mohd.

Sekolah itu merupakan antara 15 buah sekolah menengah vokasional terpilih yang dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional berkuat kuasa tahun ini seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usaha itu sejajar dengan Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang diperkenalkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam memastikan semua Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dinaik taraf kepada Kolej Vokasional (KV) pada 2013 nanti.

Dalam pada itu, Hussin berharap agar pelan transformasi itu berjaya mentransformasikan para pelajar sekolah itu ke arah kecemerlangan selepas menamatkan pengajian nanti.

"Semoga proses penjenamaan kepada kolej ini akan menjadi penanda aras kepada SMV dan dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang lain di negeri ini," ujar beliau.

Selain SMVKT, Terengganu mempunyai dua lagi SMV iaitu masing-masing satu satu di Besut dan satu lagi di Kemaman serta dua buah SMT iaitu di Kuala Terengganu dan Dungun.

No comments:

Post a Comment