Pelumba sensasi Anuar Manan akan mengetuai pasukan lumba basikal negara di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 14 Februari depan.
Jurulatih lumba basikal negara Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Anuar, anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu adalah enam pelumba yang disenaraikan untuk menghadapi kejohanan lima hari itu.
"Kita akan menurunkan pelumba-pelumba yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.
Selain Anuar, pelumba-pelumba yang akan mewakili negara ialah Zamri Salleh, Haris Salleh, Suhardi Hassan, Mohd Nor Idzuan Zainal, Akmal Amron dan Amir Mustapa Rosli.
Syed Mohd Hussaini berharap kehadiran Anuar akan memberi suntikan semangat kepada pelumba-pelumba yang lain untuk membawa cabaran serta mengharumkan nama negara dalam kejohanan berprestij itu.
Beliau berkata di samping itu, negara juga menyenaraikan Fauzan Lutfi dan Eng Yong Li untuk menggalas cabaran acara ujian masa perseorangan lebuh raya dalam kejohanan itu.
Katanya Fakhrullah Alias, Suhaimi Hafiz dan Khairul Azizi pula disenaraikan untuk acara lebuh raya bawah 23 tahun.
Menurut Syed Mohd Hussaini, setelah menjalani latihan selama hampir sebulan di Terengganu, prestasi pelumba-pelumba negara begitu memberangsangkan.
Beliau berkata latihan mendaki bukit bagi menguatkan fizikal dan stamina paling mencabar kepada pelumba-pelumba.
Katanya latihan fasa terakhir pelumba-pelumba negara sebelum menghadapi kejohanan itu diadakan di Kuala Lumpur sejak 21 Jan.
No comments:
Post a Comment