Monday, January 16, 2012

Banjir Setiu - Jumlah Mangsa Meningkat Kepada 290

Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah Setiu kerana banjir meningkat kepada 363 orang berbanding 290 pada pagi semalam.

Menurut portal banjir kerajaan negeri kesemua mangsa dari Kampung Tasek, ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir iaitu Balai Raya Kampung Tasik, mangsa banjir dari Kampung Buruk dan Kampung Balik Bukit di Masjid Lama Permaisuri, manakala mangsa dari sekitar Bandar Permaisuri di Surau Gazebo, Bandar Permaisuri.

Jumlah mangsa banjir yang paling ramai ialah di Masjid Lama Permaisuri iaitu seramai 172 orang diikuti Surau Gazebo (116) dan Balai raya Kampung Tasik (75) orang.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu berada pada paras biasa.

Banjir sejak malam semalam menyebabkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan SK Kampung Buloh dekat Bandar Permaisuri terpaksa ditutup sementara dengan jumlah murid terlibat seramai 736 orang.

Ini merupakan kali kedua SK Kampung Besut ditutup akibat banjir selepas kejadian pertama semasa penggal persekolahan mula dibuka pada 3 Januari lepas.

Penutupan kedua-dua sekolah terbabit menyebabkan seramai 736 murid diberikan cuti hingga keadaan kembali pulih.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Kipayatullah Mohd Said berkata sekiranya keadaan tidak berubah, kedua-dua sekolah itu akan terus ditutup dan para pelajar akan ganti belajar pada hari Sabtu.

"Pada awal musim baharu persekolahan dua minggu lalu, banjir turut melanda Kampung Pelong dan Kampung Jalan Hulu dekat sini menyebabkan SK Kampung Besut dan Kampung Bukit terpaksa ditutup," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang meneliti laporan mengenai punca sebenar banjir di kawasan itu sehingga mendorong dua sekolah itu ditutup.

Keadaan banjir di Pahang dan Kelantan beransur baik, berikutan itu jumlah penduduk yang dipindahkan berkurangan.

No comments:

Post a Comment