Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Selasa, meminta agar penjawat awam yang tidak memilih opsyen umur persaraan 60 tahun dibenarkan menandatanganinya semula.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata ini kerana pihaknya menerima banyak aduan bahawa ada penjawat awam tidak memilih opsyen itu kerana tidak diberi penerangan sewajarnya.
"Jadi bila pihak Cuepacs sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu barulah mereka faham dan berhasrat untuk menandatangani opsyen itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Transformasi dan Ikrar Intergriti Pembantu Makmal Penolong Pegawai Sains Institusi Pengajian Tinggi Awam di sini.
Selain itu, beliau juga meminta agar penjawat awam yang dipaksa memilih opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) tanpa disertakan penyata pergerakan gaji dibenar memilih semula sama ada kekal dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) atau sebaliknya.
"Ini kerana ada yang hanya diberikan penyata kenaikan di bawah skim SBPA selepas tandatangan borang tersebut dan kemudian mendapati ada beberapa kemusykilan dalam dalam pergerakan gaji yang ditawarkan," katanya.
Katanya Cuepacs masih menerima banyak rungutan mengenai SPBA antaranya daripada penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksima.
Segala aduan katanya, akan dipanjangkan kepada Jabatan Perkhdimatan Awam (JPA) kerana dalam masa terdekat akan ada lagi pertemuan untuk membincangakn isu berbangkit.
Tarikh tutup bagi opsyen persaraan 60 ialah pada 30 Disember lepas, sementara opsyen SPBA dilanjutkan kepada 15 Januari ini.
Sementara itu, Cuepacs juga katanya mendesak agar hampir 700 pembantu makmal di IPTA seluruh negara, dinaik taraf kepada penolong pegawai sains sebagaimana persetujuan yang telah dicapai antara Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti dua tahun lepas.
"Ada univeritsi yang telah pun menaik taraf jawatan itu seperti di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, universiti lain belum ada lagi kalau ada pun dalam bilangan yang kecil, " katanya.
No comments:
Post a Comment