Thursday, January 12, 2012

Binatang Ternakan Ancam Keselamatan Pengguna Jalan Raya

Penduduk melahirkan rasa kesal kerana sebilangan penternak yang membiarkan haiwan peliharaan mereka seperti kerbau, lembu malahan kuda berkeliaran di sekitar Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Rhu Muda, yang boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya.

Penduduk setempat mendakwa keadaan itu telah menyebabkan kerap berlaku kemalangan jalan raya maut khusus yang melibatkan penunggang motosikal selain menimbulkan rasa jijik ekoran najis binatang yang bertaburan di atas jalan.

"Bagi penduduk setempat yang telah biasa dengan keadaan ini memang akan memperlahankan kenderaan mereka apabila melalui kawasan ini. Namun bagi pengguna jalan raya yang tidak biasa, mereka akan membawa kenderaan dalam keadaan laju di atas jalan lurus di sini tanpa mengetahui tentang kehadiran haiwan-haiwan ini.

"Sebab itu selalu terjadi kemalangan khususnya pada waktu malam," kata seorang penduduk, Nor Suraya Salleh, 25.

Seorang peniaga Wan Zaleha Wan Abdullah, 53, berkata kehadiran lembu di atas jalan raya sering menganggu kelancaran lalu-lintas.

"Ada ketikanya jumlah lembu yang banyak memenuhi dan menghalang jalan sehingga sukar untuk kita memandu dan ini boleh menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya," katanya.

Yang Dipertua Maajlis Daerah Marang, Zulkifli Ali ketika dihubungi berjanji pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pemilik haiwan yang membiarkan binatang ternakan mereka bebas berkeliaran.

"Kita akan terus mengadakan operasi membanteras binatang ternakan yang berkeliran di jalan raya," katanya.

No comments:

Post a Comment