Seorang pencuri bukan sahaja terpaksa berputih mata setelah gagal mendapat sebarang habuan, tetapi lebih malang, dia turut teruk dibelasah penduduk apabila kegiatan jahatnya itu berjaya dihidu dalam satu kejadian di Kampung Padang Air, di Kuala Terengganu, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berusia lingkungan 30-an itu kantoi di tangan sekumpulan penduduk yang sedang membuat rondaan keselamatan kampung selepas cubaannya memecah masuk Masjid Kampung Padang Air dipercayai untuk mencuri sempat disedari.
Difahamkan, sebelum itu, suspek yang menunggang motosikal sudah memecah masuk sebuah rumah milik seorang ibu tunggal di kampung berkenaan dan sempat mengambil beberapa barang berharga seperti wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit.
Mungkin tidak berpuas hati dengan habuan yang diperoleh, suspek bertindak berani memecah masuk masjid pula dengan harapan mampu memperoleh habuan lebih.
Menurut salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenal sebagai Pok Yah, sejurus menyedari kehadiran ‘tetamu tidak diundang itu’ di dalam masjid tersebut, dia bersama ahli kumpulan yang bertugas mengambil tindakan mengunci motosikal yang ditunggangi suspek menggunakan rantai.
“Suspek yang terkejut mendengar kehadiran kami cuba melarikan diri menggunakan motosikalnya namun setelah menyedari ia telah dirantai, suspek terus melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran sebelum mencampakkan semua barangan yang sempat dicuri ke kawasan perkuburan berhampiran masjid.
“Melihat suspek terjun ke dalam sungai, kami turut terjun sama bagi memastikan suspek tidak terlepas dan akhirnya kami berjaya menangkapnya di seberang sungai iaitu di kawasan Kampung Petai Bubus,” katanya.
Katanya, suspek yang bukan penduduk tempatan di situ telah diserahkan kepada polis dari Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 8.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, Kelmarin mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan tersebut.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment