Seorang buruh semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, atas tiga pertuduhan cuba merasuah seorang pegawai kanan polis sebanyak RM16,000 supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya atas kesalahan memiliki dadah.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua Mohd Robi Mohammad, 41 didakwa cuba merasuah pegawai kanan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu Inspektor Shahrul Effendy Mohammad Rahhim sebanyak RM8,000 dan RM4,000 supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana memiliki dadah.
Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan terbabit pada 15 Januari kira-kira jam 11 malam di Kampung Bharu Tepoh, Jalan Bukit Wan, di Kuala Terengganu.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sekali lagi melakukan perbuatan itu kepada pegawai yang sama pada 16 Januari kira-kira jam 1.36 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu pada dengan menawarkan wang tunai sebanyak RM4,000.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.
Tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zainal Ayob.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang juruteknik Abdul Lahid Badorun, 27, juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersuhabat dengan Mohd Robi melakukan kesalahan tersebut di JSJN IPK pada 16 Januari kira-kira jam 1.36 pagi dengan menawarkan wang tunai sebanyak RM4,000 kepada pegawai berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris kemudian menetapkan 20 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes dan membenarkan tertuduh pertama diikat jamin sebanyak RM10,500 untuk tiga pertuduhan dan RM4,000 untuk tertuduh kedua.
No comments:
Post a Comment