Nelayan dan penternak gembira sambil menunjukkan wang bantuan RM100 yang diterima di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.
Golongan nelayan di negeri ini digesa tidak mengamalkan prinsip mudah iaitu 'bapa nelayan, anak nelayan' dalam kehidupan mereka jika mahu mengubah taraf ekonomi keluarga.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, 'mewariskan' pekerjaan dengan pendekatan lama itu hanya akan menyebabkan kemiskinan terus membelenggu kehidupan.
Katanya, ia juga membataskan peluang anak-anak mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lebih tinggi, terutama dalam industri perikanan dengan mempelbagaikan punca pendapatan.
"Walaupun sibuk macam mana sekalipun ke laut, saya harap ibu bapa dapat meluangkan masa duduk menemani anak-anak ketika mengulang kaji dan merangsang mereka berjaya dalam pelajaran," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama nelayan dan penternak di Dewan Besar Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu petang kelmarin (Rabu).
Pada majlis itu juga, 2,000 nelayan dan penternak di negeri ini menerima bantuan keseluruhan bernilai RM200,000 bagi mengurangkan beban golongan itu khususnya pada musim tengkujuh.
Dalam pada itu, Ahmad turut meminta golongan yang sering dikaitkan dengan kehidupan miskin itu mengubah sikap mereka daripada terus dilabel sedemikian.
Pun begitu jelasnya, 'miskin pendapatan' adalah jauh lebih baik daripada miskin minda di mana mereka mensia-siakan kemudahan yang diberikan kerajaan.
"Banyak laporan yang kita terima tentang nelayan yang menjual diesel, bot serta peralatan lain yang diperoleh dan ini merupakan tindakan yang tidak wajar apatah lagi sebelum ini mereka juga yang meminta-minta,'' ujarnya.
Di samping itu, beliau turut menasihatkan persatuan nelayan bersikap proaktif dengan memanfaatkan kemudahan yang diberikan agar tidak sekadar dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan.
"Ia bukan sekadar tempat pendaratan ikan, tetapi boleh juga dijadikan pusat kegiatan agro pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya," jelasnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment