Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mensasarkan jualan pasar tani di Terengganu tahun ini RM24.5 juta memandangkan perkembangan ekonomi negara yang semakin baik.
Pengarahnya Hasan Jusoh berkata pada tahun lepas jualan pasar tani di Terengganu adalah sebanyak RM22.5 juta.
"Biasanya sasaran kita tidak meleset, tambahan pula keadaan ekonomi negara bertambah baik dari semasa kesemasa," katanya di Kuala Terengganu.
Hasan berkata pada tahun ini pihaknya merancang akan membuka tiga buah lagi pasar tani baru, masing-masing di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut menjadikan 19 buah kesemuanya.
Menurut beliau ketiga-tiga buah pasar tani baru yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih 120 orang itu dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya bulan Mei atau Jun nanti.
Beliau berkata Fama telah memberi pekerjaan kepada lebih 1,000 orang melalui pasar tani yang ada, selain mendidik peserta pasar tani menjadi usahawan.
Dalam perkembangan yang lain, Hasan berkata Fama Terengganu akan menghantar seramai kira-kira 20 usahawan untuk menyertai sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Kerian, Perak mulai 14 Jan ini.
Beliau berkata usahawan yang terlibat terdiri daripada pengusaha keropok lekor dan juga nasi dagang.
Hasan berkata pihaknya memberi fokus kepada dua makanan itu untuk memberi peluang pengunjung pesta itu merasai dan menikmati makanan tradisi Terengganu itu.
No comments:
Post a Comment