Wednesday, January 18, 2012

Gadis Melayu Paling Ramai Hilang - PDRM

Biarpun menunjukkan trend penurunan sejak dua tahun lalu, kes membabitkan orang hilang di negara ini termasuk gadis dilarikan ke Lombok tetap diberi perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung penularan masalah berkenaan.

Statistik Bukit Aman menunjukkan 3,283 kes dilaporkan sejak 2009 dengan 1,438 daripadanya dijumpai semula dengan 2,282 yang lain masih hilang dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Daripada pecahan itu, kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,356 kes manakala Cina (143), India (351) dan bangsa lain 433 orang.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah berkenaan merangkumi kes orang hilang di dalam dan luar negara yang dilaporkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Katanya, setakat ini bagi kes yang belum dijumpai, PDRM tetap meneruskan usaha menjejaki mereka dengan siasatan dilakukan sehingga selesai dan pihaknya memerlukan maklumat orang ramai untuk membantu mengesan individu berkenaan.

“Setakat ini, kami masih menyiasat semua kes yang dilaporkan dan mengemas kini maklumat sedia ada. Walau bagaimanapun, kerjasama orang awam diperlukan untuk membantu pasukan keselamatan mencari mereka.

“Polis menerima laporan kes di dalam dan luar negara termasuk kejadian wanita dilarikan ke Lombok, Indonesia. Bagaimanapun, segala siasatan dan tindakan bergantung kepada lunas peraturan sedia ada dan jika membabitkan negara luar, aspek perundangan juga perlu diambil kira,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana individu terutama warga asing kerana berdepan risiko dilarikan dan terbabit dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

Katanya, PDRM juga menasihati masyarakat terutama remaja dan wanita supaya jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu atau tawaran lumayan kerana ia berkemungkinan perangkap untuk menggunakan mereka dengan alasan perkahwinan.

No comments:

Post a Comment