Monday, January 30, 2012

Irfan Tutup Mulut Pengkritik, Yunus Terlopong

Penggendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ternyata puas menyaksikan anak buahnya menamatkan badi empat kekalahan musim lalu kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Menurut jurulatih berusia 60 tahun itu, kemenangan 2-1 mengatasi T-Team bagi mengutip tiga mata di gelanggang lawan adalah sesuatu yang bermakna bagi Merah Kuning.

Jurulatih T-Team berkata sentuhan penyudah yang tumpul dan kurang berkesan memusnahkan impian T-Team untuk melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Yunus ternyata kurang berpuas hati dengan persembahan kurang bertenaga yang dipamerkan anak-anak buahnya itu.

Menurut Yunus, jentera serangan T-Team yang diterajui Fazdli Shaari dan Zacharia Simukonda juga mudah hilang tumpuan walaupun memiliki deretan peluang yang terhidang untuk disempurnakan.

Barangkali, ada yang terlepas pandang mengenai ‘rekod peribadi’ pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang sebenarnya langsung tidak pernah tewas dengan T-Team sepanjang beliau mengendalikan Terengganu sebelum ini.

“Kemenangan ini sangat menyentuh emosi saya, sekurang-kurangnya ia menutup buku badi kekalahan Selangor sebanyak empat kali terhadap T-Team tahun lepas.

“Walaupun secara peribadinya saya tidak pernah tewas dengan T-Team (semasa mengendalikan Terengganu), kejayaan kali ini lebih manis kerana ia hadir bersama Selangor,” kata Irfan semalam.

“Walaupun permainan kami tidaklah terlalu hebat, saya cukup berpuas hati dengan kemenangan ini. Selain kembali mencatatkan kemenangan, badi empat kekalahan kepada T-Team sudah terhapus dan dilupakan,” katanya.

Kelmarin, skuad Gergasi Merah itu menamatkan badi terhadap pasukan berstatus kelab, T-Team dengan penuh bergaya apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol hasil ledakan pemain import, Ramez Dayoub menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 dan Azidan Sarudin (78) sudah cukup untuk memalukan anak-anak buah Yunus Aliff di gelanggang sendiri.

T-Team pula memperoleh gol tunggal menerusi kapten, Zairo Anuar Zailani hasil sepakan penalti pada minit ke-49.

Katanya, kemenangan itu boleh dijadikan pembakar semangat untuk anak buahnya terus mencatatkan kemenangan dan tidak tercicir mata lagi terutamanya perlawanan getir melayan kunjungan LionsXII pada minggu depan.

Kemenangan ke atas T-Team adalah yang kedua kepada Selangor selepas lima perlawanan dengan pemain tengah, Azidan Sarudin menjadi wira menerusi tandukan pada minit ke-78 selepas Ramez Dayoub menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 namun disamakan kapten lawan, Zairo Anuar Zailani juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-49.

Ini bermakna kata-kata sumbang yang mengkritik persembahan hambar Selangor sepanjang saingan Liga Super setakat ini ternoktah sudah.

Bagi Yunus, beliau berkata kekalahan kepada Selangor kerana "secara keseluruhannya, pemain kita main tak 'pressure' lawan dan banyak beri ruang kepada Selangor untuk menyusup masuk.

"Bagaimanapun, kita akan atasi masalah ini dan saya percaya T-Team mampu bangkit dalam perlawanan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Yunus masih berteka-teki mengenai kedudukan Simukonda dalam pasukan ekoran aksi longlai yang dipamerkan bekas penyerang import Perlis itu sebelum ini.

"Saya nampak dia (Simukonda) hari ni memang telah berusaha sebaik mungkin, namun masalah kecederaan menghalangnya untuk mempamerkan aksi terbaik. Kita akan periksa (kecederaan) dia esok (hari ini) dan kalau serius, memang kita tak boleh tunggu masa yang lama dan kita akan buat sesuatu.

"Apapun kita akan tunggu laporan doktor yang merawat dia, berapa lama masa yang diambil untuk kembali pulih," ujarnya.

Simukonda yang setakat ini baru menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan Liga Super pernah diberi amaran oleh pengurusan supaya meningkatkan tahap permainan bagi mengelakkan tindakan drastik diambil terhadap pemain kelahiran Zambia itu.

Sumber - Kosmo!, Harian Hetro dan Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment