Friday, January 20, 2012

Kementerian Pelajaran Bekerjasama Dengan CMEDT Untuk Tambahbaik Pengajaran BI

Muhyiddin bersama dua wakil Universiti Cambridge diketuai Dr Anil Seal (dua dari kiri), Pemegang Amanah Badan Amanah Pembangunan Pendidikan Cambride Malaysia, Tun Ahmad Sarji (tengah) dan tokoh pendidik, Tan Sri Dr Wan Zahid Noordin (kanan) sebelum mengadakan perbincangan dengan Badan Amanah Pembangunan Pendidikan Cambride Malaysia mengenai inisiatif bahasa Inggeris di Putrajaya, semalam.

Kementerian Pelajaran semalam menjalin usahasama dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT), dalam usahanya untuk menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri yang dihantar melalui e-mel, kumpulan-kumpulan kerja, terdiri wakil daripada Kementerian Pelajaran, CMEDT dan Lembaga Peperiksaan Malaysia, akan ditubuhkan untuk meneliti butiran usahasama itu.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju pada prinsipnya untuk CMEDT mengkaji kurikulum dan menilai rangka kerja, dan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam usaha kementerian untuk menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris.

"Fokusnya ialah untuk mengkaji meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, khususnya dalam kemahiran bertutur dan menulis," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, mengadakan perjumpaan dengan wakil CMEDT di pejabat Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Wakil CMDET termasuk Pengerusi Eksekutif Malaysian Commonwealth Studies Centre, Cambridge (MCSC) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengarah MCSC Dr Anil Seal dan bekas Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Menurut kenyataan itu, perjumpaan itu bagi mengkaji usahasama strategik selaras dengan dasar kementerian iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ini bertujuan mewujudkan standard yang perlu dalam penguasaan bahasa itu dalam konteks Malaysia termasuk kompetensi guru dan pertimbangan demografi dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber CMEDT, menurut kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment