Thursday, January 12, 2012

Laporan Audit 2010 - Bantuan Ringankan Beban Kewangan Keluarga Miskin

Oleh Hambali Abdul Latiff
Bahagian Ketiga - (Sambungan daripada "Saya Sanggup "berperang" Mempertahankan Kebenaran Ahmad Said', semalam)

Ramai yang mungkin tidak faham dan kurang maklumat mengenai isu pakaian sekolah yang menyebabkan ADUN Batu Buruk disaman dan laporan APRM dibuat terhadap Menteri Besar.

Mungkin Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi membuat laporan SPRM terhadap Menteri Besar itu sebagai tindak balas saman terhadapnya.


Dengan kata lain, ia bagaikan ‘pulang paku buah keras’ tetapi jika itu yang difikirkan sesuai dan bijak bagi Syed Azman melakukannya, itu hak dan keputusannya.

Apapun, saya ingin merujuk kes ini kepada apa yang sebenarnya berlaku pada 2009 yang mana ketika itu politik Terengganu dilanda kemelut hebat apabila Datuk Seri Ahmad Said diserang setiap keliling dan apa saja dasar dan keputusannya.

Saya ingin merujuk kepada satu laporan Berita Harian, Rabu 29 April 2009 yang saya perbetulkan melalui Ganukita (ketika saya menjadi Ketua Pengarangnya yang kini menjadi Teganukita) yang melaporkan isu ini dan hampir membawa kepada saman daripada Kerajaan Terengganu.

Namun laporan itu akhirnya dibiarkan sahaja selepas adanya ‘perbincangan dan rundingan’ antara Pejabat Menteri Besar dan pengurusan Berita Harian.

Namun laporan itu tetap dilihat bersifat ‘ada udang di sebalik batu’ dan memandangkan kemelut politik Terengganu sudah pulih, ia dijadikan ‘bahan sejarah’ kemelut politik Terengganu.

Isu pakaian sekolah ini turut dilaporkan dalam sebuah blog yang melaporkan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar ketika itu dihadapkan ke ‘meja soajawab’ Jawatankuasa Akaun Negeri (PAC) mengenai perbelanjaan dan pengurusan bantuan berkenaan yang dipengerusikan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah.

Dilaporkan sesi soaljawab itu menjadi panas apabila ada soalan-soalan yang seolah-olah ada ‘penyelewengan’ dan ‘salah urus’ dalam pembahagian bantuan berkenaan. Bagaimanapun ia reda selepas itu sehinggalah Laporan Audit 2010 mengenai perkara ini.

Hasilnya, selain soalan lisan pada Sidang DUN Terengganu awal Disember lalu, Syed Azman ketika membahaskan Bajet 2012 juga menimbulkan perkara ini dan yang paling serius ialah ayat dan perkataan dalam Usul beliau yang ditolak Yang DiPertua Dewan menyebut beberapa perkara yang disifatkan sebagai ‘fitnah’.

Saya perturunkan apa yang disebut oleh Syed Azman mengenai perkara itu:

1. Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan kepada JK Kira-kira Awam Negara telah membongkar suatu laporan yang amat mengejutkan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu; (Pertanyaan – apakah Laporan Audit itu sebagai pembongkaran atau laporan atau pernyataan yang mahukan pembaikan?);

2. Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan... (Pertanyaan – apakah laporan itu suatu pendedahan atau bersifat teguran?);

3. “Persoalan besar yang timbul ialah bagaimanakah projek yang diurus-selia oleh Pejabat Menteri Besar sendiri boleh berlaku alah-urus dan kebocoran amat ketara?” (Projek ini diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri);

4. “Siapakah mendapat keuntungan laba yang besar dengan memeras jerih susah rakyat miskin di seluruh negeri Terengganu?” (Tuduhan kononnya ada pihak mendapat untung besar daripada projek ini. Apakah ia bermaksud Menteri Besar atau kakitangan di Pejabat Menteri Besar?)

Tidak mengapa jika apa yang disebut atau dicadangkan pada persidangan DUN sebagai hak atau imuniti beliau sebagai ADUN.

Namun, ADUN PAS ini ada menulis dalam akhbar Harakah melalui kolumnya yang menyebut antaranya:

1. Kesemua 4 perkara di atas;
2. Projek ini berterusan selama 3 tahun dan setiap tahun kontrak bernilai RM10 juta kepada 1 sahaja syarikat;
3. Tidak ada kontrak formal ditandatangani;
4. Harga yang dibekalkan pembekal lebih tinggi berbanding harga dikedai biasa.

Sebaliknya, jika diteliti kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Kuala Lumpur, mengakui program itu mampu membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin di negeri Terengganu.

Selain itu program itu membantu ibu bapa dan pelajar dalam menyediakan keperluan dan alatan sekolah.

Selain itu, program membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu menyebut bahawa seramai antara 55,000 hingga 99,000 pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Program yang merupakan aktiviti tahunan Kerajaan Negeri itu mendatangkan faedah secara terus kepada pelajar dan ibu bapa di seluruh negeri.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, program yang diperkenalkan sejak 2005 hingga sekarang ternyata berjaya menyediakan keperluan persekolahan anak-anak miskin di negeri ini.

Selain itu kajian menunjukkan hanya 26,7 peratus sahaja tidak berpuas hati dengan pembahagian pakaian dan peralatan sekolah. Punca utamanya kerana ia berkaitan saiz dan kelambatan.

Bagaimanapun isu berkenaan diatasi apabila ibu bapa dapat menukar saiz baju anak mereka dan bekalan sampai kesemuanya kepada yang disasarkan.

Bagi yang tidak mendapatnya, Pejabat SUK menggantikan dengan wang tunai RM100 bagi setiap pelajar.

Yang nyata, kos yang dibekalkan oleh syarikat pembekal adalah kompetatif dan ada yang lebih murah kerana ia dikira dua pasang pakaian, selain peralatan.

Perbelanjaan sebenar bagi program untuk tahun 2009 sahaja bukannya RM10 juta seperti didakwa sesetengah pihak tetapi hanya sekitar RM7.9 juta.

Pejabat SUK juga menyatakan, Kerajaan Negeri tidak memberikan kontrak atau peruntukan RM10 juta setiap tahun bagi program ini kepada syarikat pembekal kerana hanya tahun 2009 sahaja ia membabitkan penyediaan pakaian dan peralatan.

Sebaliknya untuk tahun 2008 dan 2010 ia diberikan secara tunai bagi membolehkan ibu bapa membeli pakaian dan perlatan anak-anak mereka.

Laporan itu menyebut, bagi tahun 2007, 2008 hingga 2010, kos pembiayaan program tersebut adalah berjumlah RM28.47 juta.

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Oktober 2010 mendapati bagi tahun 2006 hingga 2010, seramai 55,000 hingga 90,000 pelajar telah mendapat faedah daripada program ini setiap tahun.

Bersambung…

No comments:

Post a Comment