Terdapat 315,835 daripada 597,671 orang atau 52.8 peratus pengundi merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah di seluruh negeri sehingga Jun 2011.
Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT), Rozi Mamat berkata, daripada jumlah berkenaan terdapat 106,159 orang atau 17 peratus daripadanya merupakan pemilih baru dan pertama kali menjadi pengundi.
“Daripada jumlah keseluruhan pendaftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berakhir Jun tahun lalu lebih separuh terdiri golongan muda,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.
YB Haji Rozi berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Sijil Perlantikan Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Dewan Utama UMNO Bahagian Hulu Terengganu kelmarin.
“Saya yakin golongan muda hari ini sudah bijak menilai kerajaan mana yang boleh membantu mereka berjaya dalam mengharungi kehidupan pada zaman yang mencabar ini,” katanya.
Katanya, bagi melancarkan lagi proses pemilih baru setiap DUN dua pekerja sepenuh masa ditempatkan bagi memudahkan mereka membuat pendaftaran.
“Jawatankuasa pemuda cawangan bertindak membuat semakan di kampung masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang genap 21 tahun dan membantu memudahkan proses daftar,” katanya.
Selain itu katanya, banyak aktiviti dan program dilaksanakan tujuan memberi pendedahan kerjaya serta pemahaman perancangan kerajaan untuk masa depan mereka.
Beliau tidak menolak adanya segelintir golongan muda begitu taksub kepada pembangkang tetapi jangan lupa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian dalam apa juga bentuk bantuan bagi memastikan mereka mempunyai hala tuju yang boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan negara.
No comments:
Post a Comment