Satu mesyuarat bagi membincangkan perkembangan projek-projek pembangunan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan diadakan bulan depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan akan turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP)dan semua Ketua Setiausaha (KSU) yang merupakan jawatankuasa bagi menyemak dan menilai perkembangan projek permulaan (EPP).
Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan masalah-masalah yang boleh menjadi halangan atau mengekang projek-projek tersebut siap mengikut jadual.
"Lebih 80 peratus daripada 131 EPP telahpun dimulakan dan apabila ia bermula bermakna kerajaan akan menyediakan perbelanjaan sehingga projek tersebut siap.
"Ada antara projek ini yang memakan masa sehingga dua atau tiga tahun dan ada juga yang memakan masa hingga 10 tahun untuk disiapkan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Rakyat, Kampung Cik Zainal di Ipoh, semalam.
Ahmad Husni berkata perancangan yang teliti perlu bagi memastikan tiada penangguhan dalam projek-projek yang dijalankan.
Sementara itu, katanya, perkembangan ekonomi negara pada tahun hadapan tidak akan terjejas walaupun penganalisis menjangka ekonomi beberapa negara di Eropah belum pulih sepenuhnya.
Beliau berkata, sekiranya tiada kemerosotan melanda Eropah pada 2012, ekonomi negara akan berkembang dengan lebih baik kerana kita mempunyai eksport dengan beberapa negara berkenaan.
"Sebahagian besar penganalisis menjangkakan ekonomi Amerika Syarikat akan berkembang pada tahun hadapan berdasarkan perkembangan positif negara berkenaan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
"Perkembangan itu juga melampaui sasaran awal," katanya
No comments:
Post a Comment