Friday, January 27, 2012

Nelayan Bimbang Muara Setiu Semakin Cetek

Seorang nelayan terpaksa menggunakan sebatang kayu bagi menggerakkan botnya yang tersekat akibat keadaan muara Sungai Setiu yang cetek ketika gambar ini dirakamkan, kelmarin.

Meskipun hasil tangkapan agak memuaskan pada awal musim ini berbanding tahun lalu, nelayan di sini tetap mengeluh kerana mereka sukar turun ke laut ekoran muara di sini yang semakin cetek.

Tungkul-tungkul kayu yang banyak ditemui di sekitar kawasan muara turut menghadang laluan dan boleh merosakkan bot jika mereka tidak berhati-hati.

Sehubungan itu, nelayan dari Kampung Fikri, Pengkalan Gelap, Gong Batu, Saujana, Mangkok, Penarik dan Kampung Bahru berharap pihak berkuasa dapat membantu agar masalah itu tidak berlarutan.

Seorang nelayan, Wan Roslan Wan Muda, 41, berkata, walaupun keadaan muara makin menyulitkan, mereka terpaksa juga turun ke laut dengan menunggu ketika air pasang terutama bagi bot beratnya 10 tan metrik ke atas.

“Ia untuk mengelakkan bot terlanggar beting atau tunggul kayu pokok rhu yang tumbang akibat hakisan,” katanya ketika ditemui di muara Setiu, semalam.

Said Othman, 59, pula memberitahu, hasil tangkapan seperti udang dan sotong pada awal tahun ini agak banyak berbanding musim sebelum ini.

“Ada yang dapat RM300 hingga RM500 sehari, namun ia tidak menggembirakan sebahagian nelayan kerana keadaan di muara berkenaan.

“Adakalanya semasa air surut para nelayan terpaksa pulang awal kerana bimbang bot mereka tersangkut,” ujarnya.

Tekong pukat ikan, Omar Ismail, 54, ketika ditemui meminta kerajaan mengambil langkah-langkah yang difikirkan sesuai termasuk membuang tunggul kayu yang terdapat di muara itu.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan kawasan (PNK) Setiu berkata, jika masalah itu dibiarkan ia akan menambahkan lagi kesulitan para nelayan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment