Tuesday, January 24, 2012

Ops Sikap ke 25 - PDRM Berpuas Hati

Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini berpuas hati dengan keberkesanan Ops Sikap Ke-25 sejak dilancarkan 15 Januari lalu yang telah mencatatkan penurunan kadar kemalangan maut berbanding operasi sama pada tahun lalu.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, setakat semalam, ia menunjukkan petanda positif sebelum tamat pada 30 Januari ini.

Beliau memberitahu, sekiranya berjaya, Ops Sikap kali ini yang dilaksanakan dengan pendekatan berteraskan kepada penguatkuasaan melibatkan pelbagai unit termasuk trafik, Unit Tindakan Khas (UTK) selain agensi lain akan diteruskan pada tahun depan.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh hari operasi itu dilancarkan, sebanyak 73 kes kemalangan maut dicatatkan berbanding 80 kes dalam tempoh sama pada operasi tahun lalu.

“Bagi kematian yang direkodkan pula adalah 84 kes berbanding 87 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Pada operasi tahun lalu, kita banyak memberi nasihat kepada pengguna jalan raya tapi tahun ini (Ops Sikap Ke-25), kita bawa pendekatan berteraskan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan ke atas sesiapa saja pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik.

“Setakat ini, positif dan kita percaya pendekatan berasaskan penguatkuasaan seumpama ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Sikap Ke-25 di Kampung Kelulut dekat Marang semalam.

Turut hadir Komander UTK dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Jaafar Mohd. Yusof; Ketua Trafik Pasukan, Datuk Abdul Aziz Yusof dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa.

Salleh berkata, sehingga semalam, Ops Sikap Ke-25 telah mengeluarkan sebanyak 134,620 saman ke atas kenderaan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas berbanding lebih 82,000 kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Berdasarkan statistik tersebut, ia mencatatkan kira-kira 40 peratus peningkatan jumlah saman yang kita keluarkan pada kali ini,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, saman itu membabitkan pelbagai kesalahan yang kebanyakannya memandu laju selain melanggar lampu isyarat, memotong kenderaan di garisan berkembar serta kesalahan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal

No comments:

Post a Comment