Friday, January 13, 2012

Pas Tawar Manifesto Tambahan Untuk Rampas Terengganu

Bagi memperkuatkan parti dalam usaha merampas kembali Terengganu pada pilihan raya umum ke-13, PAS Terengganu Khamis menawarkan lima manifesto tambahan kepada manifesto lima perkara yang diumumkan pada Oktober 2010.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut berkata lima tawaran terbaru itu ialah meneruskan perjuangan mengembalikan hak royalti petroleum ke Terengganu, pengambilan balik tanah yang terlibat dengan pembangunan rumah kediaman oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tapak gantian baru atau rumah penempatan gantian kepada pemilik terlibat.

"Lain-lainnya ialah menawarkan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik rumah yang bermeter individu setiap bulan, menambah sekolah agama rakyat dan pusat-pusat pengajian pondok dan yang terakhir mewujudkan semula institusi pengajian Islam milik kerajaan negeri.

"Macam KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin) dengan mengutamakan anak-anak Terengganu," katanya pada sidang media di Kuala Berang, semalam.

Abdul Wahid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dan anggota Parlimen Kuala Terengganu berkata pada 15 Okt, 2010, PAS mengumumkan lima manifestonya iaitu melaksanakan program pengecualian cukai pintu rumah kediaman untuk semua rakyat Terengganu, selesaikan isu tanah yang dirampas oleh kerajaan BN/Umno dan menawarkan cuti bergaji bagi kakitangan awam yang kematian suami selama 30 hari.

Dua lagi ialah menyediakan peluang pekerjaan dengan sasaran 17,000 peluang dalam masa tiga tahun dan mewujudkan dasar merakyatkan ekonomi serta menyediakan projek dan skim khas bagi rakyat miskin meningkatkan pendapatan mereka dalam bentuk penyertaan sektor pertanian, ternakan, skim perniagaan atau sebagainya.

"Jadi sekarang sudah ada 10 tawaran dalam manifesto kita kepada rakyat Terengganu. Kita akan mengemukakan lagi tawaran secara berperingkat-peringkat menjelang pilihan raya umum kelak," katanya.

Ditanya mengenai harapan PAS pada PRU-13 kelak, Abdul Wahid berkata, parti menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi membolehkannya memerintah Terengganu.

"Pembahagian kerusi sedang dimuktamadkan dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat). Sebab selama ini pun kita tidak ada masalah dengan PKR. Kerusi, calon semuanya akan selesai, tetapi tidak boleh umum sekaranglah," katanya.

No comments:

Post a Comment