Monday, January 16, 2012

PBSNT Harap FAM Bincang Isu Pemain Import Segera

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat segera bagi membincangkan isu pemain import untuk membolehkan PBSNT menurunkan pemain berkenaan dalam pertandingan Liga Super.

Pengurus pasukan yang juga Pengerusi PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh, berkata ini penting kerana semakin lama pemain import tidak bermain semakin lama PBSNT menanggung kerugian.

"Kita sedang berusaha dan sudahpun berbincang dengan FAM dan badan induk itu berjanji akan cuba seberapa boleh menyelesaikan perkara itu," katanya di Kuala Terengganu.

Sekiranya FAM dapat menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat ini, Che Mat berharap, Terengganu, juara Piala FA itu, akan menurunkan pemain import ketika bertemu Sarawak di tempat lawan Selasa ini.

Pada Liga Super tahun ini, Terengganu akan menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.

Che Mat berkata, sekarang ini tindakan PBSNT ialah memenuhi arahan FAM iaitu setiap pemain asing tahun ini disyaratkan mengambil pemeriksaan kesihatan bagi mengelak sebarang masalah.

Menurutnya, sudah melaksanakan arahan FAM itu dan yakin kedua-dua pemain import Terengganu itu bebas daripada sebarang penyakit.
Che Mat berkata, laporan kesihatan pemain import itu akan dihantar kepada FAM dalam masa terdekat bagi membolehkan pemain import berkenaan diturunkan dalam perlawanan sama ada Sarawak atau T-Team.

Che Mat menyifatkan keputusan FAM berlembut berhubung kontroversi pemain import sebagai keputusan bijak.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment