Selepas 12 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Pejabat Peguam Negara semalam akhirnya memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Halilah Suboh mengesahkan bahawa notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini semalam, pada pukul 4.30 petang.
Pada 9 Januari lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari.
Beliau menetapkan demikian setelah berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).
Mohamad Zabidin menyatakan, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas.
Beliau berkata, di peringkat pembelaan bagi kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.
No comments:
Post a Comment