Thursday, January 5, 2012

PERKASA Mahu Tempur Dengan 'Bebaskan Anwar', Permas Bela Saiful

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar akan menyekat perhimpunan gerakan ‘Bebaskan Anwar 901', Isnin depan demi mempertahankan keamanan negara.

Menurut Sinar Harian, presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dipetik berkata ahlinya akan menunaikan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum berarak sehingga ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kami tunai solat sunat berjemaah dan berdoa Alalh SWT memberi kekuatan kepada pejuang ini.

“Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi,” katanya dipetik akhbar itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan membuat penghakimannya berkenaan perbicaraan liwat II yang membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Isnin nanti.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa mereka akan mengumpulkan 100,000 penyokong di Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi menunjukkan sokongan padu mereka kepada ketua pembangkang itu.

Mengenai tindakan bakal diambil pihak berkuasa, Ibrahim berkata, terpulang kepada polis untuk menghalang PERKASA atau Pakatan Rakyat kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram.

“Kami menegakkan keamanan, itulah kekuatannya dan mereka pula hendak meruntuhkannya, sebaliknya menaikkan pemimpin yang mempunyai masalah moral.

“Tidak perlu saya perjelaskan siapa (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang merupakan bekas sahabat di universiti dan berjuang bersama-sama,” katanya kepada Sinar.

Sebelum ini, menjelang himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, Ibrahim juga mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk menggagalkan pergerakan yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Tetapi pada saat terakhir, beliau membatalkan hasrat PERKASA itu atas alasan tidak mahu pertembungan ataupun pertumpahan darah di kalangan orang-orang Melayu.

Sementara itu, satu perhimpunan dikenali “Himpun Keadilan Untuk Saiful” dicadang diadakan di perkarangan Kompleks Mahkamah Isnin ini.

Perhimpunan anjuran Pertubuhan Permufakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dikatakan bagi membela Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa diliwat oleh ketua pembangkang itu.

Setiausaha Agung Permas, Zulkifly Shariff, berkata, Permas menyasarkan 5,000 ahli akan menyertai perhimpunan itu.

"Mereka telah sedia maklum bahawa demonstrasi jalanan bukan budaya masyarakat kita dan sekiranya mereka tetap untuk meneruskan perhimpunan tersebut, mereka perlu berdepan dengan Permas dan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Zulkifly berkata, Permas akan mendapatkan permit polis bagi mengadakan perhimpunan itu yang akan melibatkan 15 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Permas, antaranya Putra Malaysia, Pertubuhan Panel Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Persatuan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) dan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang.

Penasihat PPIM Tunku Azwil Tunku Abdul Razak pula berkata demonstrasi oleh penyokong-penyokong Anwar tidak sepatutnya diadakan kerana ia hanya akan mencetuskan konflik sosial dan seterusnya memberi kesan kepada masyarakat khususnya orang Melayu.

"Ia bertentangan dengan budaya rakyat negara ini dan dilihat cuba mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment