Friday, January 27, 2012

PPK Kemaman Sasar Tembusi Pasaran Cendawan Luar Terengganu

Pengeluar cendawan terbesar di Terengganu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kemaman menyasarkan untuk menembusi pasaran cendawan di luar Terengganu tidak lama lagi.

Untuk itu, Pengurus Besarnya, Abdul Hamid Ali berkata pihaknya akan menambah lagi bangunan pusat pemasaran di Kampung Dadong, Kemaman untuk meningkatkan pengeluaran.

"Sekarang ini, kita tidak dapat menembusi pasaran luar kerana pengeluarannya terhad dan permintaan dalam negeri terlalu tinggi," katanya di Kemaman, hari ini.

Bagi projek ini, beliau berkata PPK mempunyai tiga bangsal cendawan, bangsal pemeraman (satu) serta pusat pemprosesan bongkah dan bilik inokulasi (untuk menyejuk dan penyuntikan benih).

Abdul Hamid berkata, pusat pemasaran itu yang mula diwujudkan dan beroperasi tahun lepas berjaya mengeluarkan hasil pertama 24,000 kg cendawan jenis "tiram kelabu" bernilai lebih RM280,000.

Beliau berkata peruntukan utama RM163,268 pembinaan pusat itu datang dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Terengganu dan PPK Kemaman RM41,682.

Projek itu merupakan satu daripada projek korporat PPK sebagai mentor kepada usahawan tanaman cendawan di samping mewujudkan projek hiliran yang berunsurkan cendawan seperti sos cili cendawan, sos lada hitam cendawan dan sebagainya.

Kini, terdapat enam orang pengusaha tanaman cendawan yang bernaung di bawah PPK itu dan jumlah itu dijangka meningkat apabila peserta PPRT di Ketengah digalakkan mengusahakan tanaman cendawan.

Abdul Hamid berkata dengan adanya cendawan pengeluaran peserta PPRT itu, secara tidak langsung kuantiti cendawan meningkat dan hasrat PPK untuk menembusi pasaran luar Terengganu akan berhasil.

Dalam hal ini, beliau berkata pihaknya mempunyai rangkaian dengan usahawan PPK Kuantan Utara untuk mengeksport cendawan ke Singapura dan ke beberapa negara lain pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan Terengganu telah memberi bantuan RM20,000 untuk membina bangsal pemeraman dan juga membeli bongkah.

"Selain mengeluarkan cendawan, kita juga menjual bongkah kepada pengusaha cendawan termasuk pembeli dari Kedah dengan harga antara RM1.30 dan RM1.50 satu bongkah," katanya.

Benih cendawan dibeli PPK itu dari Muar, Johor.

Abdul Hamid berkata perusahaan cendawan berpotensi dan mempunyai masa depan yang cerah memandangkan tanaman itu mendapat sambutan yang menggalakan di kalangan peminatnya.

Untuk masa depan, katanya PPK merancang mengeluarkan benih cendawan sendiri serta melahirkan lebih ramai lagi mentee supaya dapat menampung permintaan orang ramai.

Pada tahun ini, dianggarkan 60,000 kg cendawan akan dikeluarkan oleh PPK Kemaman, katanya.

No comments:

Post a Comment