Rancangan membina kem tentera di Marang , yang akan menempatkan 5,000 anggota dijangka melonjakkan proses pembangunan daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Terengganu Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata,kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 800 hektar di Kampung Tebuang Jenang bagi pembinaan kem berkenaan.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Berangan berharap projek itu dapat menjadi kenyataan selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.
Tanpa memberikan butiran, beliau berkata selain pembinaan kem itu, banyak lagi projek lain yang akan dibina di Marang.
"Kita harap ekonomi penduduk Marang secara tidak langsung akan turut meningkat selari dengan pembangunan yang akan dilaksanakan nanti," katanya kepada Bernama.
Katanya pembinaan kem tentera itu juga secara tidak langsung akan membantu menambah jumlah pelajar Sekolah Kebangsaan Jenang yang menghadapi ketandusan pelajar.
Yahya berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru berharga RM5 juta yang dapat menampung lebih 1,000 jemaah tahun ini di kampung Pengkalan Berangan dekat Marang.
Beliau berkata dengan adanya kem tentera itu serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di daerah itu akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan yang dapat menambah pendapatan penduduk di daerah ini.
No comments:
Post a Comment