Thursday, January 19, 2012

RM30 Juta Baik Pulih Jalan Rosak Akibat Banjir di Terengganu

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memerlukan kira-kira RM30 juta bagi membaik pulih jalan raya rosak di seluruh negeri akibat banjir baru-baru ini.

Pengarahnya, Ir. Shafii Muhamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta dimohon melalui peruntukan kerajaan Pusat dan RM10 juta diperoleh daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini beberapa batang jalan Persekutuan serta negeri telah diselenggara dan dijangka lebih 20 batang jalan akan dibaik pulih secara berperingkat pada tahun ini.

"Kita telah mengenal pasti semua jalan terbabit yang rosak sejak akhir tahun lalu sehingga sekarang yang menjadi laluan utama.

"Kita akan lakukan secara berperingkat mengikut keutamaan," katanya kepada pemberita selepas menziarah imam Surau Pekan Sahari Bandar Permaisuri, Ismail Mohd, 75, di Hospital Setiu (HS) di Setiu, semalam.

Beliau ditemui semasa mengiringi Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk As'ari Ibrahim melawat warga emas itu yang cedera parah selepas terjatuh ke dalam lubang akibat tanah mendap di jambatan Simpang Hulu Seladang dekat sini, pada Sabtu lalu.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Jurutera JKR Daerah Setiu, Anuar Ngah.

Sempena lawatan itu, As'ari turut memberi sedikit sumbangan peribadi kepada Ismail.

As'ari telah mengarahkan JKR supaya sentiasa memantau jalan raya yang dikenal pasti berisiko di seluruh negeri supaya kejadian yang sama itu tidak berulang lagi.

"Kita tidak mahu kejadian malang seperti yang menimpa ke atas warga emas ini berlaku kepada para pengguna jalan raya yang lain.

"Ia perlu dielakkan, namun kita seharusnya bersyukur kerana ia tidak melibatkan kemalangan maut," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment