Sebahagian daripada orang ramai yang terdiri daripada masyarakat Cina mendapatkan dana perayaan Tahun Baru Cina di Kemaman, Terengganu, kelmarin.
Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM400,500 kepada 1,577 masyarakat Cina di daerah ini bagi memberikan lebih kemeriahan kepada mereka menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
Pengagihan bantuan tahunan secara berperingkat kepada golongan kurang berkemampuan itu melibatkan 1,059 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, DUN Kemasik (337), DUN Kijal (155) dan DUN Air Putih (26).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setiap penerima mendapat RM200 hingga RM400 bergantung kepada pendapatan dan jumlah isi rumah.
"Program ini adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan menjelang Tahun Baru Cina yang bukan sahaja di Parlimen Kemaman, malah di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Dana Raya Tahun Baru Cina di Dewan Sri Amar, di Kemaman, kelmarin.
Hadir sama isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Awang Tera; ADUN Kemasik, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Tambah Ahmad Said, selepas ini lebih banyak lagi program seperti itu akan diadakan untuk masyarakat berbilang kaum termasuk masyarakat Orang Asli dan Siam di negeri ini.
No comments:
Post a Comment