Wednesday, January 4, 2012

Rumah Terbakar - Empat Bersaudara Mulakan Persekolahan Serba Kekurangan


Muhd Ibrahim Fikri Abdullah (kiri) bersama saudaranya menunjukkan kasut sekolahnya yang terselamat selepas rumah teres dua tingkat berkembar yang mereka duduki terlibat dalam kebakaran di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu, semalam.

Empat bersaudara terpaksa memulakan sesi persekolahan mereka hari ini dalam keadaan serba kekurangan setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Bayas, di sini petang semalam.

Hampir semua peralatan sekolah dan dokumen penting milik Nurul Akma Rosli, 15; adiknya, Nor Zulaikha, 7, serta dua anak saudaranya iaitu Mohd. Amirul Haiqal Rosdi, 6, dan abangnya, Lutfi Hakim, 8, musnah.

Kakak Nurul Akma dan Nor Zulaikha, Teh Nor Saleha Rosli, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia tidur bersama dua anaknya di tingkat atas.

"Saya hanya sedar ada kebakaran apabila suami (Syed Mohd. Ridhuan Syed Ali, 36,) pada masa itu ada tingkat bawah naik ke atas dan kejutkan saya dan anak-anak.

"Saya tak pasti punca sebenar kebakaran tapi percaya ia berpunca daripada litar pintas," katanya ketika ditemui pemberita selepas kejadian.

Menurut Teh Nor Saleha, rumah itu disewa sejak lebih setahun lalu oleh keluarganya dan keluarga kakaknya, Teh Nor Aisyah Rosli, 26, dan didiami oleh 10 orang ahli keluarga.

Api yang marak turut menyambar sebahagian daripada rumah yang terletak bersebelahan.

Menurut penghuni rumah bersebelahan tersebut, Wan Zulkifli Wan Salleh, 47, dia dan isterinya, Rohani Alim, 44, terbau asap sebelum diberitahu oleh orang yang lalu-lalang bahawa rumah mereka turut terbakar.

"Saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan tong-tong gas dan barang elektrik. Bagaimanapun, kain-baju kami hangus terbakar," katanya yang telah menyewa rumah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika dihubungi berkata, sebaik sahaja menerima panggilan, pihaknya tiba dengan empat buah jentera dan 17 anggota.

"Bomba terpaksa mengambil masa selama 15 minit untuk memadam kebakaran kerana lebih 50 peratus bahagian atas rumah itu terbakar.

"Jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM100,000, bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment