Sokongan kaum Cina dan Siam tetap memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Terengganu sungguhpun mereka merupakan kaum minoriti di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin.
Beliau yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, setiap golongan dan kaum memainkan peranan penting dalam setiap pilihan raya dan mereka jangan sekali-kali tidak ambil peduli kerana keputusan pilihan raya umum akan menentukan masa depan mereka sendiri.
“Walaupun kaum Cina dan Siam hanya merupakan kira-kira lima peratus daripada jumlah pengundi di negeri ini, tanggungjawab untuk mengundi jangan diabaikan kerana ia boleh mengubah nasib mereka kalau tersalah pilih,” katanya ketika berucap pada Program Malam Mesra Kaum Tionghua dan Siam daerah Besut di Dewan Gong Kemuntong.
Menurut beliau, masyarakat kumpulan minoriti perlu bersatu di bawah BN dan terus memberi sokongan yang padu yang perlu dibuktikan dengan tindakan mengundi BN.
Katanya, sekiranya Terengganu terus aman dan politik terus stabil sudah pasti pelbagai pembangunan akan dapat dirasai oleh semua pihak termasuk golongan minoriti.
No comments:
Post a Comment