"Syukur dan terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Ini maknanya FAM dengar kehendak saya".
Itu reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memberi kelonggaran kepada persatuan negeri dan kelab melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.
Menurut Ahmad Said, tegurannya terhadap FAM mengenai perkara itu tempoh hari sebenarnya bertujuan untuk sama-sama melihat sukan bola sepak tempatan negara maju serta membangun.
"Saya bersyukur dan terima kasih kepada FAM yang buat keputusan untuk buka semula pendaftaran pemain import. Tujuan ambil pemain ini (import) untuk meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan dan jumlah penonton ke stadium.
"Saya puas hati dengan keputusan ini, ia bagi membolehkan pemain import beraksi dan ini disambut baik oleh persatuan bola sepak negeri.
"Saya bukan bercakap sebagai seorang Menteri Besar, tapi saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak di peringkat akar umbi, saya juga peminat bola dan saya juga main bola. Jadi, saya tahu kehendak peminat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Kuala Terengganu semalam.
Beliau juga berharap kekecohan berkaitan isu pemain import pasukan bola sepak negeri itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berulang.
Katanya, perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku lagi demi masa depan sukan bola sepak itu sendiri.
Beliau nyata gembira dengan keputusan badan induk itu melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import sehingga 13 Februari walaupun sebelum ini FAM dilihat enggan tunduk dalam isu itu.
"Pelanjutan tempoh ini akan membolehkan pemain import bermain, dan ini disambut baik semua persatuan bola sepak negeri, ini maknanya FAM mendengar kehendak kita," katanya.
Menteri Besar Terengganu berpendapat, keputusan yang dibuat FAM itu selaras dengan tujuan pengambilan pemain import iaitu untuk meningkatkan lagi pencapaian bola sepak tempatan dan meningkatkan sokongan penonton, sekali gus membolehkan persatuan menambah pendapatan pada masa depan.
No comments:
Post a Comment