Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (kanan) bersama sebahagian penerima kunci rumah Projek Awam Kos Rendah Banggol Peradong di Kuala Terengganu, kelmarin.
Impian 10 penduduk sekitar kawasan Parlimen Kuala Nerus untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima kunci rumah masing-masing semalam.
Lebih manis, kunci itu diserahkan dua hari sebelum bermulanya tahun baru oleh Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.
Menurut Mohd. Nasir, kesemua 10 penduduk itu merupakan penerima terakhir bagi Projek Awam Kos Rendah (PAKR) Banggol Peradong di Seberang Takir yang siap sejak 2006 lalu.
Katanya, penyerahan kunci untuk penduduk di kawasan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak Mei tahun sama dan sepanjang tempoh itu, seramai 260 penerima ditawarkan untuk menduduki rumah tersebut.
"Bagaimanapun, tidak semua penerima itu bersetuju untuk menduduki rumah berkenaan atas pelbagai alasan termasuk tidak mampu kerana ia dijalankan mengikut kaedah perjanjian sewa-beli untuk tempoh tiga tahun pertama sebelum boleh dimiliki sepenuhnya," katanya pada majlis penyerahan kunci rumah PAKR Banggol Peradong di pejabatnya di sini, kelmarin.
Sebanyak 238 unit rumah dibina di kawasan itu dan setiap satunya dianggarkan bernilai RM30,000.
Dalam pada itu, beberapa penerima yang ditemui nyata gembira dan menyifatkan penyerahan kunci tersebut sebagai rezeki tahun baru.
Menurut penyelia tapak pembinaan, Mohd. Nasri Mohd. Napis, 33, dia bersyukur kerana berpeluang memiliki rumah sendiri setelah hampir dua tahun menunggu untuk berbuat demikian.
"Sebelum ini saya hanya menumpang di rumah keluarga mertua dan adik-beradik lain," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment