Pengusaha bas tambahan yang mahu menyediakan perkhidmatan sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi diminta supaya segera memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS).
Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, pihak pengusaha boleh mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hingga Isnin depan.
Penggunaan LPS akan dikuat kuasa mulai 16 Jan hingga 31 Jan, katanya.
Beliau juga berkata tindakan undang-undang bakal diambil kepada pengusaha bas tambahan yang gagal membuat permohonan LPS dalam tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu Mohamad Ashfar berkata pihak pengusaha bas tambahan dijangka menaikkan harga tiket sebanyak 10 peratus bagi menampung kos penyelenggaran.
"Kos penyelenggaraan melibatkan kos perkhidmatan dan gaji kerani serta pemandu yang akan bertugas pada musim perayaan nanti," katanya.
Beliau turut menasihati pengusaha bas supaya menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan mereka sebelum beroperasi membawa penumpang bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya.
Sementara itu tinjauan semalam di beberapa kaunter jualan tiket di sekitar ibu negara mendapati tiket bas ke negeri-negeri di sebelah pantai timur dan utara laris dijual, manakala ke selatan masih boleh didapati.
"Tiket-tiket habis dijual untuk ke beberapa destinasi di Kelantan sehingga 20 Jan ini seperti Kota Baharu, Pasir Panjang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
"Harga tiketnya masih sama dan kemungkinan akan naik sedikit melebihi dari harga asal yang telah ditetapkan," kata penjual tiket syarikat Budaya Ekspress di Hentian Putra, Harnani Othman.
Penjual tiket di kaunter syarikat Konsortium Mutiara, Syafiq Ramli juga berkata tiket untuk perjalanan ke Kelantan pada 21 dan 22 Jan turut habis dijual.
"Namun tiket untuk ke Kuala Terengganu masih ada," katanya.
Penjualan tiket di Hentian Bas Jalan Duta yang menampung perjalanan ke utara turut habis dijual sejak Ahad lepas.
"Tiket untuk perjalanan pada 20 hingga 22 Jan ini ke Alor Setar telah habis dijual dan pihak kami akan menyediakan bas tambahan sekiranya ada permintaan dari pengguna," kata penjual tiket syarikat Mara Linear, Mohd Sobri Mohd Shahid.
Di Pudu Sentral, penjual tiket syarikat Seri Maju Ekspress turut memaklumkan tiket ke Alor Setar untuk perjalanan pada 21 Jan telah habis dijual.
No comments:
Post a Comment