Kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band akan dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah di Terengganu Mac ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kumpulan yang ditubuhkan pada Oktober 1999 itu dipilih kerana elemen seni dan muzik yang dipersembahkan mampu mendidik masyarakat dengan lagu berkonsepkan ketuhanan serta irama nasyid.
"Pendekatan ini dilihat boleh menjadi wadah untuk menarik minat golongan belia berkumpul dan bergaul secara positif kerana kerajaan negeri memahami cita rasa orang muda.
"Karya seni lima anak muda itu memang diminati golongan muda di negeri ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Ahmad berkata konsert yang diadakan secara percuma itu akan bermula di Kemaman sebelum meneruskan jelajah ke Besut, Hulu Terengganu dan berakhir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.
Tarikh dan lokasi sebenar persembahan kumpulan yang terkenal dengan lagu Cari Jodoh, Taubat Maksiat dan Mari Berselawat itu akan dimaklumkan kemudian, katanya.
No comments:
Post a Comment