Malaysia semalam menutup acara trek Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 dengan menambah dua pingat emas dan dua perak.
Pingat emas diraih Fatehah Mustapa dan Josiah Ng, masing-masing dalam acara Keirin elit wanita dan lelaki, manakala pingat perak disumbang Mohd Azizulhasni Awang (elit lelaki) dan Ummi Hamimah Mohamad (remaja perempuan) dalam acara yang sama.
Fatehah, 23, mengukir sejarah tersendiri apabila kejayaan meraih pingat emas hari ini menjadikan beliau sebagai pelumba wanita Malaysia yang berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia.
"Saya gembira dapat pingat emas acara ini. Ia satu kenangan yang tidak mudah untuk saya lupakan. Hari ini, saya betul-betul puas hati. Selalunya hanya pingat perak atau gangsa. Sudah dua tahun saya tidak dapat pingat dalam acara keirin.
"Masa undian tadi (undian kedudukan permulaan sebelum memulakan perlumbaan) saya di belakang pelumba Hong Kong dan saya memang hendak berada belakang dia sebab dia mempunyai kayuhan yang paling laju. Pada selekoh terakhir, baru saya terus memecut," katanya.
Pingat perak acara itu dimenangi Xu Yulei dari China dan Lee Wai Sze dari Hong Kong mendapat pingat gangsa.
Ditanya mengenai kelayakan ke Sukan Olimpik London, Fatehah berkata kejayaan hari ini mungkin membolehkan beliau beraksi buat pertama kali di temasya sukan terbesar dunia itu.
"Buat masa ini, saya berada di belakang pelumba China (Guo Shuang) dan dikedudukan ketiga ialah pelumba Hong Kong (Lee Wai Sze). Jarak mata saya dengan Hong Kong sudah jauh ditambah dengan hari ini tidak tahulah berapa," katanya.
Bagi menghadapi Kejohanan Dunia di London minggu depan, Fatehah tidak mahu terlalu yakin kerana lebih banyak negara yang akan menyertainya.
"Saya tidak mahu terlalu yakin. Bagi saya, biar dari bawah dan sasaran saya ialah untuk melayakkan diri ke peringkat akhir," katanya.
Selain meraih pingat emas, Fatehah turut meraih satu perak melalui acara pecut (sprint) dan satu gangsa dalam acara 500m ujian masa.
Sementara itu pelumba veteran Josiah, yang membuat penampilan pertama di tempat sendiri lebih daripada sedekad, menggembirakan penyokong tempatan apabila menamatkan perlumbaan untuk memberi kedudukan 1-2 kepada Malaysia dengan Mohd Azizulhasni merangkul perak.
Ternyata gandingan dua pelumba pecut negara, Josiah Ng dan Azizulhasni berjaya menghadiahkan kemenangan dan strategi yang direncanakan dua pelumba negara itu berjaya menghalang dominasi Jepun dalam acara berkenaan yang turut mempunyai dua wakil iaitu Kazunari Watanabe dan Yudai Nitta, manakala dua slot lagi diisi pelumba Iran, Mahmoud Parash dan pelumba pilihan, Zhang Lei dari China.
Sorakan padu penyokong Malaysia sekali lagi menjadi azimat buat pelumba negara yang melakukan henjutan bertenaga pada saat-saat akhir sebelum mencecah garisan penamat, sekali gus menyaksikan Josiah, 31, memenangi emas dengan catatan 10.985 saat dan Azizul, 24, memenangi perak.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Jepun, Nitta selepas kemenangan Watanabe dibatalkan kerana memasuki laluan yang tidak dibenarkan dalam perlumbaan.
Kejayaan Josiah ini juga merupakan yang pertama bagi pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu sepanjang penyertaannya dalam ACC.
"Tidak dapat digambarkan lagi kegembiraan saya pada hari ini (semalam) dan ia juga amat bermakna bagi saya kerana akhirnya tercapai juga impian memenangi pingat emas dalam ACC sepanjang karier saya dalam sukan berbasikal," kata Josiah.
"Sebelum ini, saya telah memenangi perak pada ACC 2011 di Korat, pingat emas dalam Sukan SEA dan Komanwel, jadi walaupun emas ini hadir setelah terlalu lama, namun ia satu penantian yang berbaloi.
"Lebih bermakna, Azizulhasni juga berjaya memenangi pingat perak dan ia kejayaan 1-2 kepada negara. Sebenarnya, saya tidak kisah siapa yang akan memenanginya asalkan ia pelumba Malaysia dan nampaknya hari ini kami berdua berjaya melakukannya," katanya.
Sementara Azizulhasni juga meluahkan rasa puas hatinya dengan prestasi semasa di ACC 2012 ini meskipun hanya mampu menyumbang pingat perak dalam acara pecut dan keirin.
Pelumba kelahiran Dungun itu menjelaskan bahawa dia kini hanya mahu memberi tumpuan kepada siri Trek Piala Dunia Klasik di London pada 14 hingga 15 Februari ini bagi melihat peningkatannya dengan pelumba dari Eropah selepas berehat panjang ekoran kecederaan.
"Kejayaan 1-2 ini sangat mengagumkan dan ia sama seperti ketika pencapaian kami di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi," kata Azizulhasni.
"Saya tidak terkilan walaupun gagal memenangi emas, pingat perak ini pun sudah cukup bagus kerana tumpuan saya ialah pada Piala Dunia Klasik di London dan juga Sukan Olimpik 2012.
"Masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki dari segi pecutan dan kuasa henjutan, saya harap saya sempat mendapat semula keadaan fizikal ketika memenangi pingat perak di Kejuaraan Dunia tiga tahun lalu," ujarnya.
Selepas menamatkan saingan dalam acara trek, Malaysia setakat ini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, manakala Hong Kong mendahului dengan 5-3-4 dan China dengan 4-2-2.
Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia akan diteruskan dengan acara perlumbaan lebuh raya yang akan bermula Selasa ini.
No comments:
Post a Comment