Wednesday, February 29, 2012

Adiq Keempat, Anuar Terus Ditimpa Episod Malang


Mohamad Adiq Husainie Othman (kiri) mengakhiri peringkat kelima dari Ayer Keroh ke Pandan Indah di tempat keempat.

Pendaki pasukan Champion System, Mohamad Adiq Husainie Othman menganggap kejayaannya meraih tempat keempat pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, semalam adalah keputusan paling cemerlang sepanjang menyertainya sejak 2010.

Adiq yang beraksi bersama Drapac Cycling pada 2010 dan 2011 mencatat masa empat jam 32 minit 28 saat berada di belakang Jose Serpa dari Androni Giocattoli yang menduduki tempat pertama (4:31.17s).

"Saya sedar laluan peringkat kelima ini memang sukar tetapi ia sudah sebati dengan saya kerana tiga zon pendakian yang ditawarkan iaitu di Bukit Tangga, Genting Perez dan Bukit Tinjau adalah tempat latihan saya," kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Jelasnya, walaupun menduduki tempat keempat tetapi dia tidak menggunakan sepenuh tenaganya kerana laluan esok (hari ini) iaitu mendaki ke Genting Highlands adalah sangat sukar.

Adiq mula mengorak langkah untuk cuba berada di dalam kelompok pertama dan berjaya mencuri tujuh mata zon pendakian kedua di Genting Perez dan sekali lagi melakukannya di zon pendakian ketiga di Bukit Tinjau untuk meraih enam mata.

Setakat ini, Adiq berada pada kedudukan kedua, ketinggalan empat mata di belakang pelumba Farnese Vini, Matteo Robattini dalam perebutan jersi merah (raja bukit).
Sementara itu, jaguh pecut negara, Anuar Manan sekali lagi berdepan episod malang apabila terjatuh ketika menuruni bukit di zon pendakian kedua di Genting Perez, sebelum itu tayar basikalnya juga pancit.

"Saya kecewa sedikit hari ini (semalam), saya jatuh ketika menuruni Genting Perez ketika cuba mengejar kumpulan pertama, memang kesilapan saya sendiri tidak ada kena mengena dengan pelumba lain," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu.

Jelasnya, selepas terjatuh badannya berasa sakit tetapi masih mampu meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Kecederaan tersebut tidak menghalangnya untuk beraksi di peringkat keenam dari Shah Alam ke Genting Highlands hari ini.

"Memang kecederaan ini mengganggu pergerakan saya tetapi esok pagi saya akan melihat semula bagaimana perkembangannya," katanya yang mengalami kecederaan di kaki kanan.

Kemalangan tersebut menyebabkan Anuar berkongsi di tangga keempat perebutan jersi biru (raja pecut) dengan Andrea Guardini (Farnese Vini- Selle Italia) unggul di tempat pertama dengan memungut 45 mata, tempat kedua milik Jacob Keough dari United Healthcare yang meraih 41 mata diikuti Valentin Iglinskiy dari Astana dan Anuar Manan yang mengumpul 36 mata.

Pelumba negara, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi yang menduduki tempat ke-15 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 peringkat kelima dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, semalam tidak mengerah seluruh kudratnya kerana menyimpan tenaga untuk mendaki laluan Genting Highlands hari ini.

Dia berpuas hati dengan kedudukan semalam walaupun agak kecewa kerana gagal mengejar kelompok kedua bagi menduduki tempat lebih baik.

"Pada satu kilometer sebelum garisan penamat saya teragak-agak untuk keluar dari peloton tetapi memikirkan tenaga saya sudah berkurangan dan perlu disimpan menjelang pendakian Genting Highlands esok (hari ini) saya kekal dalam kumpulan tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Turut mencatat keputusan yang membanggakan semalam, ialah Amir Mustafa Rusli yang meraih tempat ke-19 daripada 124 pelumba. Kedua-dua mereka adalah pelumba harapan negara bagi laluan pendakian.

"Esok (hari ini) saya akan mengerah segala tenaga yang ada, kalau boleh tidak mahu ketinggalan terlalu jauh," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Amir pula berkata, keputusan semalam baik walaupun dia tidak memberikan kayuhan 100 peratus juga memberi alasan untuk menyimpan tenaga.

Bagi jurulatih, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan, apa yang diharapkan oleh anak-anak buahnya semalam berjaya ditunaikan dengan baik sekali baik pada zon pecutan mahupun zon pendakian.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment