Saturday, February 4, 2012

Andrea Guardini Sah Sertai Ltdl Bagi Mempertahankan Jersi Pecut

Pertarungan bagi merebut gelaran raja pecut (jersi biru) pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi-17 dijangka sengit apabila Andrea Guardini (gambar atas) dari Itali, pemenang jersi biru edisi lepas, mengesahkan penyertaannya semalam.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012 Emir Abdul Jalal berkata selain Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, pelumba pasukan pro-tour seperti Garmin-Cervelo dari Amerika Syarikat dan Pro Team Astana dari Kazakhstan dilihat sebagai pencabar bagi pelumba tempatan untuk menyarung jersi raja pecut jelajah itu nanti.

"Pada edisi kali ini, pelumba berpengalaman, Robert Foster dari pasukan United Healthcare yang pernah memenangi beberapa peringkat semasa Le Tour de France, dijangka kembali bukan sahaja untuk memenangi sesetengah peringkat tetapi mungkin keseluruhan LTdL kali ini.

"Namun, jangan terlalu fokuskan pelumba luar untuk memenangi jersi biru pada tahun ini, pelumba negara seperti Anuar Manan dan Mohd Harris Salleh juga berpeluang menyarung jersi biru.

"Kita patut berbangga kerana Malaysia mempunyai Anuar Manan yang muncul sebagai pelumba pertama dari Asia yang pernah memenangi jersi pecut pada 2010," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan LTdl 2012 di Subang Jaya semalam.

Mengenai kelewatan penyertaan Guardini, Emir berkata ia disebabkan pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli mengenakan yuran penampilan sebanyak AS$12,000 (RM47,460.50) sebelum pihak penganjur LTdl berbincang dan bersetuju untuk membayar sebanyak AS$10,000 (RM30,235).

Pada majlis sama, Proton Holdings Berhad menyerahkan penajaan rasmi berupa 150 buah pelbagai model kereta keluarannya sebagai kereta rasmi LTdl 2012, yang akan digunakan oleh pasukan-pasukan dan kakitangan penganjur sepanjang 10 peringkat jelajah itu nanti.

Edisi jelajah LTdl kali ini melibatkan 120 pelumba mewakili 22 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan, LeTua, Terengganu Cycling dan pasukan kebangsaan dalam mengharungi 10 peringkat sejauh 1414.8Km.

No comments:

Post a Comment